Selasa, 22 September 2015

Tidak sertai PR jika ada DAP, Amanah

Tidak sertai PR jika ada Dap, Amanah
Mohd Amar (tiga, kiri) diiringi Adun Demit, Mumtaz Md Nawi (dua, kanan) dan Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani (kiri) melawat lokasi kebakaran, semalam.
 
 
KOTA BHARU - Pas nekad untuk tidak menyertai pakatan pembangkang baharu sekiranya gabungan itu turut dianggotai Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, meskipun mengakui perlunya kerjasama erat dalam kalangan parti pembangkang untuk menumbangkan BN.
 
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pas tidak akan menjalin kerjasama politik terutama dengan Amanah ekoran tindakan pemimpinnya yang telah mengkhianati perjuangan parti itu.
 
“Situasi semasa kini menyebabkan kami tidak dapat bersama-sama (dalam gabungan pembangkang bersama DAP dan Amanah).
 
“Bagaimanapun setakat ini, Pas masih menjalinkan kerjasama dengan PKR,” katanya kepada media selepas melawat dan memberi sumbangan kepada Madrasah Al-Fununiah Al-Tunjuniah, Tunjong yang musnah dalam kebakaran beberapa hari lalu, di sini, semalam.
 
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas juga bersedia untuk bergerak sendirian bagi menghadapi pilihan raya kerana sudah berpengalaman sebelum ini.
 
“Kita ada pengalaman bergerak sendirian, soal menang atau kalah terserah kepada ALLAH SWT. Kita tidak kisah sekiranya terpaksa menentang DAP dan Amanah (dalam pilihan raya), malah jika kedua-duanya bertanding di kawasan kita, kita akan lawan walaupun tiga atau empat penjuru,” katanya.
 
Dalam pada itu, Mohd Amar sekali lagi menasihatkan wakil rakyatnya yang menyertai Amanah atau parti lain agar segera meletakkan jawatan kerana perkara itu jelas terkandung dalam baiah yang dilafazkan mereka ketika menjadi calon pada pilihan raya umum lalu.
 
“Kita bimbang, sekiranya mereka tidak meletak jawatan, mereka akan mendapat hukuman daripada ALLAH kerana melafazkan sumpah baiah menggunakan nama ALLAH bukan perkara main-main,” katanya.
 
Mengulas mengenai penggunaan baiah taklik pada PRU akan datang, Mohd Amar berkata, ia bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulama sebagaimana sebelum ini.
 
 

Tiada ulasan: