MAKKAH,  Satu kebakaran yang dilaporkan berlaku semaalm, di khemah penempatan jemaah haji, di Mina, tidak membabitkan jemaah Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kejadian pada petang Jumaat itu berlaku di perkhemahan jemaah haji dari Mesir dan dipercayai berpunca daripada sebuah dapur berdekatan perkhemahan itu.

“Tiada jemaah haji Malaysia terlibat. Semua anggota keluarga jemaah haji di tanah air tidak perlu risau, kerana mereka semua berada dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut berita yang disiarkan di laman web Mesir, Al-Youm al-Sabea, sebuah khemah milik jemaah haji Mesir terbakar, semasa mengerjakan ibadah haji pada Jumaat.

Laporan itu menyebut, lapan jentera bomba dan penyelamat segera dikerahkan ke tempat kejadian, dan anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran itu tidak lama kemudian.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.