Sabtu, 26 September 2015

Tanpa PAS, Pakatan Harapan masih boleh pikat Melayu, kata DAP



Pemimpin Pakatan Harapan selepas mesyuarat mereka minggu lepas. Seorang pemimpin DAP menganggap ketiadaan PAS dalam gabungan itu bukan masalah dalam menarik undi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 September, 2015.Pemimpin Pakatan Harapan selepas mesyuarat mereka minggu lepas. Seorang pemimpin DAP menganggap ketiadaan PAS dalam gabungan itu bukan masalah dalam menarik undi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Pakatan Harapan masih mampu menarik sokongan pengundi Melayu walaupun tidak disertai PAS, kata seorang wakil rakyat DAP, mengulas kebimbangan yang gabungan parti pembangkang baharu itu mungkin lemah tanpa parti Islam itu.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata pandangan itu satu anggapan yang salah kerana PAS tidak berupaya menarik minat orang Melayu bandar dan pengundi bukan Melayu jika tidak kerana puak progresifnya.

Puak itu kini meninggalkan PAS dan membentuk Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Liew berkata dengan mengandaikan "angin" politik akan memihak kepada pembangkang, pilihan raya akan datang bakal ditentukan sama ada pembangkang boleh mengalahkan Umno dalam 35 hingga 40 kerusi marginal di Semenanjung. 
 
 "Umno mempunyai 73 kerusi di Semenanjung," kata pengarah pendidikan politik DAP itu dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada musuh ketat PAS dan parti tunjang Melayu dalam Barisan Nasional (BN).

"Kekalahan dalam 40 kerusi marginal itu akan membawa kepada berakhirnya Umno sebagai kerajaan. Kerusi tersebut kebanyakannya separa bandar di pantai barat Semenanjung dan bercampur-campur dari segi komposisi etniknya.

"Ini kerusi yang PAS, di bawah kepimpinan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ini, tanpa puak progresif, akan mendapatinya sukar untuk dimenangi," kata Liew (gambar, kiri).

Masyarakat Melayu membentuk kira-kira 50% daripada 30 juta penduduk Malaysia dan merupakan pemegang undi penting untuk kedua-dua BN dan Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan, terdiri daripada parti pembangkang PKR, DAP dan kumpulan serpihan PAS – Amanah – dilancarkan awal minggu ini menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang kini tidak lagi berfungsi.

PAS enggan menyertai gabungan pembangkang baharu itu, menyatakan ia tidak boleh bekerjasama dengan DAP dan "pengkhianat", merujuk kepada bekas anggota dan pemimpinnya yang membentuk Amanah.

Dengan penubuhan Pakatan Harapan, Liew berkata, pembangkang kini harus membina sokongan dan keyakinan orang ramai bagi mengubah kerajaan.

Lebih penting lagi, mereka perlu meyakinkan pengundi Melayu di kawasan separa bandar yang kerajaan baharu akan menjadi lebih baik berbanding Umno.

"Jika pembangkang baharu boleh membina kepercayaan dan perpaduan, terutamanya di kalangan anak muda Melayu di kawasan pinggir bandar, mungkin akan ada gelombang anti-kerajaan atau tsunami yang akan menyapu bersih Umno untuk selama-lamanya," katanya.

Pakar strategi DAP itu juga meramalkan, gelombang rakyat seterusnya akan berdasarkan keadaan ekonomi semasa.

Menjawab kritikan yang Pakatan Harapan ditubuhkan dengan tergesa-gesa, Liew berkata, lebih baik gabungan itu direalisasikan segera sekarang daripada terlalu lewat di kemudian hari.


Tiada ulasan: