Selasa, 22 September 2015

Stok vaksin anti rabies habis

SINAR HARIAN


anjing
Gambar hiasan


GEORGETOWN - Stok bekalan vaksin bagi penyakit anjing gila atau rabies di Pulau Pinang sudah habis dan pesanan baharu dijangka tiba selewat-lewatnya minggu depan, kata Pengarah Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Dr Siti Salmiyah Tahir.
  
Beliau berkata,  pesanan bekalan vaksin yang baharu mengambil masa untuk tiba di negeri ini memandangkan ia diimport dari negara luar.
  
"Kita mempunyai stok yang agak terhad. Bagaimanapun, kita telah membuat pesanan, dalam masa terdekat akan sampai tambahan vaksin. Insya-ALLAH akan cukup. Di Pulau Pinang habis stok semalam. Kita juga ada buat pesanan baharu," katanya pada sidang media di sini hari ini.
  
Justeru, beliau menasihatkan pemilik anjing untuk sentiasa memastikan anjing peliharaan mereka berada di rumah.
  
Ditanya mengenai penggunaan vaksin oral untuk menangani penyakit itu, Siti Salmiyah berkata suntikan menerusi mulut masih di peringkat kajian.

"Tidak ada lagi bukti yang menunjukkan keberkesanan 'oral vaccination' (vaksin oral) ini. Lebih berkesan menggunakan suntikan," katanya.
  
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin yang turut hadir pada sidang media itu berkata sebanyak 41 kes gigitan anjing telah dilaporkan sehingga semalam.
  
Beliau berkata sepanjang operasi wabak rabies yang dijalankan secara bersepadu selama enam hari sejak 16 Sept lepas, sebanyak 342 ekor anjing liar telah ditangkap dan dilupus.
  
"Sebanyak 50 sampel telah diambil untuk ujian diagnosis penyakit rabies di Institut Penyelidikan Veterinari di Ipoh, Perak dengan tumpuan utama kepada kes gigitan pada manusia," katanya.
  
Sebanyak 292 ekor anjing telah menerima suntikan vaksin anti-rabies sehingga semalam, katanya.
  
Dalam pada itu, Dr Afif berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri turut mempergiatkan 116 kempen kesedaran awam di kawasan perumahan, kampung, ladang ternakan, rumah ibadat dan kawasan sempadan negeri sepanjang tempoh berkenaan. - Bernama


Tiada ulasan: