Sabtu, 12 September 2015

Sikap Hadi bukan ukuran sertai PR 2.0

Takiyuddin Hassan


SHAH ALAM - Penyertaan Pas dalam PR 2.0 bukan atas dasar peribadi sebaliknya ia adalah urusan antara parti pembangkang sebagai rakan kongsi dalam kerjasama politik itu.

Demikian kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sambil menegaskan perkongsian politik itu tidak wajar dinilai berdasarkan sikap pemimpin utama Pas semata-mata.

"Siapa dia suruh Presiden yang mempunyai sejuta ahli ubah sikap? Apa jawatan dia (Khalid Samad) dalam Harapan Baharu? Khalid ni dah cakap lama, dari dulu lagi. Dia keluar (Pas) pun, lagi ramai lagi masuk parti," katanya pada sidang media pada Kongres Rakyat, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, Harapan Baharu boleh bekerjasama dengan Pas dalam PR 2.0, namun dengan syarat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengubah sikapnya.

Khalid berkata, Abdul Hadi sebelum ini banyak kali membelakangkan keputusan PR khususnya dalam isu hudud.

Dalam pada itu, Takiyuddin juga berkata, sebelum menubuhkan PR 2.0, semua rakan kongsi terlibat perlu berbincang untuk mendapat satu kata putus tentang hala tuju kerjasama politik itu.

"Pas mempunyai pendirian sendiri, mempunyai agenda sendiri, punyai program kita sendiri, pandangan sendiri.

"Kalau kita dipanggil (bincang penubuhan PR2.0) inilah kita jadikan sebagai terma rujukan kita," ujarnya.

Sehingga kini, katanya lagi, Pas masih belum menerima sebarang jemputan untuk berbincang mengenai penubuhan PR 2.0 daripada PKR atau mana-mana pihak terbabit.

"Setakat ini, belum dipanggil apa perjumpaan ke arah itu," katanya lagi.


Tiada ulasan: