Isnin, 21 September 2015

'Saya sedia bai'ah jika masuk Pas'

Abdul Khalid Ibrahim
Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersedia melafazkan bai'ah jika akhirnya beliau memilih untuk menyertai Pas seperti pemimpin-pemimpin parti itu.

Menurutnya, beliau perlu mengikut sistem sedia ada dalam mana-mana parti yang dipilihnya nanti.

"Jika saya putuskan untuk masuk satu satu parti, saya kena ikutlah (sistem parti itu).

"Jika saya tak nak ikut, saya tak perlulah masuk ke parti itu," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas forum Diskusi 3.0 : Integriti Dan Kenegaraan, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan telah dipelawa untuk menyertai Pas, namun, beliau memberitahu belum menimbangkan tawaran itu kerana masih ada perkara untuk diselesaikan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sementara itu, ketika forum tersebut berlangsung, Abdul Khalid menegaskan beliau masih belum menjadi ahli Pas walaupun sering mengikuti program bersama parti itu.

"Saya sudah bersama Pas tapi belum menjadi ahli lagi. Saya ada masalah integriti yang perlu diselesaikan sebelum membuat keputusan.

"Sebelum ini integriti saya dipersoal, dakwaan di mahkamah sampai lebih kurang 89 muka surat. Tapi PKR sudah minta maaf," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Khalid: Saya terima dipecat, tapi... ]

Mengulas lanjut, beliau sempat berseloroh memberitahu ada rakannya yang menyarankan agar meneruskan kes saman tersebut dan pergi melancong dengan wang saman itu.

"Tapi saya tak buatlah. Itu bukan perjuangan saya. Tindakan PKR singkirkan saya, saya anggap tidak adil, jadi, saya kena pertahankan.

"Saya minta ROS adili perkara ini. Jika saya masuk ke parti lain sebelum isu ini diselesaikan, sudah tentu saya tak boleh pertikaian perkara ini. Jadi, saya kena tunggu," katanya.

Malah katanya, soalan sama akan terus ditanya rakan-rakan dan pihak media selagi beliau masih ahli Parlimen Bebas, namun, katanya jawapan yang diberi tetap sama.

Abdul Khalid dipecat daripada PKR selepas beliau enggan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor seperti diputuskan oleh parti.


Tiada ulasan: