KUALA LUMPUR, Risiko penggunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape telah digembar-gemburkan pakar kesihatan.

Pakar Kesihatan Awam England (PHE), Prof Gerry Stimson berkata, kebanyakan penyelidikan antarabangsa ke atas toksikologi e-rokok, yang dirumuskan dalam Laporan Kesihatan Awam England baru-baru ini menunjukkan, ia kurang berisiko berbanding rokok tembakau.

“Rokok elektronik kurang menarik minat mereka yang tidak pernah merokok.

“Penjualan e-rokok yang mengandungi nikotin adalah haram di Malaysia, tetapi larangan berkenaan ternyata tidak boleh dikuatkuasakan dan tidak berkesan.

“Pengharaman e-rokok bukan satu dasar yang baik, kerana kerajaan tidak mempunyai kawalan ke atas keselamatan dan kualitinya,” katanya kepada The Rakyat Post, baru-baru ini.

Sabtu lalu, pakar psikiatri dan pakar berhenti merokok di Pusat Pakar Universiti Malaya, Dr Amer Siddiq Amer Nordin dilaporkan sebagai berkata, penggunaan rokok elektronik adalah berbahaya, disebabkan kandungan nikotin di dalam cecairnya.

Jelasnya, apa yang membimbangkan ialah apabila penjual membancuh sendiri cecair mengikut permintaan pelanggan, tanpa mengetahui isi kandungannya.

“Tiada bukti mengatakan vape selamat digunakan dan apa yang membimbangkan ialah apabila peniaga mencampurkan cecairnya, tanpa mengetahui ia mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan pengguna,” kata Dr Amer Siddiq.

Jelasnya, penguatkuasaan undang-undang terhadap penggunaan vape adalah perlu, bagi mengelakkan orang ramai, khususnya golongan remaja memulakan tabiat merokok.

Bagaimanapun, Stimson berkata, jawapan kepada permasalahan itu adalah mengawal selia e-rokok sebagai produk pengguna.

Stimson yang mengikuti isu itu di Malaysia berkata, walaupun vaping mungkin tidak 100 peratus selamat, sebahagian besar bahan kimia yang menyebabkan penyakit berkaitan rokok tidak wujud dan bahan kimia yang ada hanya mendatangkan kesan terhad.

Tegasnya, piawaian e-rokok sedia ada telah wujud dan dikelolakan Institusi Piawaian British (BSI) serta badan piawaian Perancis yang dikenali sebagai AFNOR.

“Dalam tempoh setahun, semua negara Eropah boleh meluluskan e-rokok ke dalam pasaran. United Kingdom dan Ireland kini mempunyai kod amalan pengiklanan untuk e-rokok.

“E-rokok adalah pilihan wajar untuk perokok yang tidak dapat meninggalkan ketagihan nikotin.

“Piawaian penggunaan yang betul akan memberi jaminan kepada pengguna e-rokok di Malaysia terhadap produk yang mereka beli,” katanya.