Selasa, 15 September 2015

PR 2.0: Pas tak mahu gopoh

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
 
 
KUALA LUMPUR - Pas enggan terburu-buru membuat keputusan sama ada mahu menyertai gabungan parti pembangkang baharu atau tidak.
 
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, sebaliknya parti itu akan meneliti situasi politik semasa terlebih dahulu.
 
Menurut beliau, tindakan Pas itu juga adalah sebahagian strategi dan pendekatan parti untuk menghadapi PRU-14.
 
"Ini berkait soal pendekatan dan strategi politik. Sehingga kini, Pas belum membuat sebarang keputusan kerana perlu melalui proses perbincangan dan kajian di peringkat parti.
 
"Kita tak perlu terburu-buru dan gopoh untuk ambil tindakan. Perlu untuk kita banyak membaca perkembangan semasa dan untung rugi menghadapi politik," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
 
 
Katanya, keputusan rasmi parti mengenai perkara itu juga hanya akan dibuat oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
 
"Jadi kita akan tunggu mungkin dalam beberapa ketika selepas Pas buat pendirian rasmi," katanya.
 
Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, satu gabungan parti pembangkang baharu akan diketahui dalam tempoh sebulan.
 
Rafizi turut berkata, beliau yakin rundingan antara PKR dan Pas akan membuahkan hasil.
 
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai keputusan Parti Pekerja Malaysia yang mahu bertanding di kerusi dimenangi Pas, Nasrudin berkata, ia terserah kepada mereka.
 
"Mereka nak bertanding di mana, itu hak mereka. Bagi Pas, kita bersedia menghadapi PRU-14 dengan keputusan yang akan kita buat nanti.
 
"Kita juga bersedia berdepan apa juga cabaran dan keadaan sebagai sebuah parti yang berpengalaman," katanya.
 
 

Tiada ulasan: