Isnin, 21 September 2015

Perjuangan Islam larang PAS bertahaluf dengan "pengkhianat" Parti Amanah, kata Nik Zawawi

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
SHAH ALAM: PAS mengikut pendekatan Islam apabila tidak mahu bertahaluf siyasi atau mengikat kerjasama politik dengan "pengkhianat" di sebalik Parti Amanah Negara, kata Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Nik Salleh.
 
"Islam ada kaedahnya untuk bertahaluf. Islam sama sekali tidak mengizinkan perjuangan Islam untuk bertahaluf dengan mana-mana pihak serpihan daripada Islam sebab Islam menganggap bahawa golongan serpihan ini adalah golongan pengkhianat. 
 
"Sebagai parti Islam yang mengikut lunas-lunas agama, PAS menegaskan bahawa tidak akan mengadakan tahaluf siyasi dengan parti serpihan yang baru sebab mereka (Amanah) adalah kumpulan yang khianat," kata beliau kepada Antarapos.
 
Kenyataan Nik Zawawi itu menyusul selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak kemungkinan PAS mengikat kerjasama politik dengan Amanah yang diterajui oleh beberapa bekas wakil rakyat PAS yang tidak sebulu dengan Hadi dan pimpinan ulama parti itu. 
 
Kenyataan terbaru Nik Zawawi ini sekali gus menempelak cubaan PKR untuk menyakinan PAS menyertai Amanah dan DAP bagi membentuk Pakatan Rakyat 2.0. 
 
Ia juga memberi tamparan kepada harapan PKR untuk menyakinan PAS supaya tidak meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh parti pembangkang lain dalam menentang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14. 
 
Nik Zawawi berkata pemimpin-pemimpin Amanah sudah menunjukkan belang mereka apabila keluar daripada PAS, justeru mereka tidak boleh dipercayai lagi. 
 
"Bagaimana nak bekerjasama dengan mereka? Jika kita buat perjanjian dengan mereka, apa alasan yang boleh mereka katakan bahawa mereka tidak akan mungkir janji dan khianat lagi? 
 
"Jika sebelum ini pun mereka sanggup khianat parti sendiri dan buat hal yang bercanggah, seperti kenyataan Mat Sabu dan Salahuddin (Ayub) yang sangat lantang lebih daripada orang lain, tiba-tiba mereka langgar (janji). Jadi bagaimana kita nak beri kepercayaan kepada mereka lagi?
 
"Parti mereka dinamakan Amanah, namun apa yang mereka bawa sangat tidak beramanah. Dan kita tidak akan mengadakan tahaluf siyasi dengan mereka," tegasnya lagi.
 
Mohmad Sabu adalah bekas timbalan presiden PAS dan kini menjadi presiden Amanah manakala Sallahuddin adalah bekas ahli Jawatankuasa Pusat PAS yang menjadi timbalan presiden Amanah.
 
Setakat ini 12 wakil rakyat PAS menyertai Amanah manakala Ahli Parlimen Tumpat dan bekas Setiausaha Agong PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar menyertai PKR.  
 
PKR akan menganjurkan persidangan meja bulat  esok untuk membincangkan pembentukkan dan hala tuju Pakatan Rakyat 2.0.
 
Bagaimanapun PAS dilihat 'tidak berminat' untuk menghadirinya dan sehingga kini tidak memberikan sebarang kata putus tentang persidangan meja bulat itu. 


Tiada ulasan: