Isnin, 21 September 2015

PAS tidak berminat sertai Pakatan Rakyat 2.0 kerana tujuannya masih kabur - Nasruddin

Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata PAS tidak berminat untuk menyertai gabungan Pakatan Rakyat 2.0  kerana hubungan parti berkenaan dalam Pakatan Rakyat versi terdahulu masih utuh.
 
Malah beliau turut menyifatkan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 masih kabur dan belum digerakkan sepenuhnya.
 
"Pakatan Rakyat 2.0 belum wujud malah usaha mewujudkannya juga masih kabur dan PAS tidak berminat mewujudkan versi 2.0 itu kerana Pakatan Rakyat versi asal masih utuh dan apa yang perlu ialah mengukuhkan versi asal dengan komitmen yang sudah jelas sebelum ini dan membuat penerokaan baru yang efektif kepada Pakatan Rakyat", katanya dalam satu kenyataan.
 
Ujar Nasrudin, parti berkenaan tidak boleh menerima sikap segelintir bekas pemimpin PAS yang bertindak keluar parti dan menyerang parti berkenaan dari belakang.
 
"PAS tidak boleh bertolak ansur dan tidak boleh mengiktiraf sikap dan tindakan bekas pimpinan dan ahli PAS yang menikam PAS dari belakang, kemudian bertindak keluar PAS lalu menubuhkan parti baru untuk berdepan dengan PAS," ujarnya. 
 
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, penubuhan Amanah juga masih belum jelas mencerminkan matlamat sebenar parti berkenaan yang diilhamkan oleh individu daripada serpihan PAS. 
 
"Komponen Pakatan Rakyat 2.0 sendiri masih dalam keadaan keliru dan dilema."
 
"Parti yang baru ditubuhkan itu (mengambil alih parti lama) masih belum jelas hala tuju dan tidak diketahui umum perlembagaan partinya, kecuali mereka bermaksud meneruskan dasar dan perlembagaan parti lama itu sendiri sebagai Parti Pekerja Malaysia yang berhaluan kiri," tegasnya.
 
Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan PAS tidak akan menyertai pakatan pembangkang yang baru kerana tidak mempunyai agenda memartabatkan Islam sebaliknya hanya mahu memenangi pilihan raya akan datang.
 
"Penegasan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tidak mahu PAS menyertai Pakatan Rakyat 2.0 itu sangat tepat dan pintar."
 
"Bukan kerana menganggap hanya PAS yang hebat dan PAS lebih baik dari yang lain, tetapi kerana tidak mahu menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang tidak baik dan terjerumus dalam satu situasi yang keliru dan terumbang ambing dalam percaturan politik semasa sedang PRU 14 semakin hampir", katanya yang mengulas kenyataan Hadi pada 10 September lalu.
 
Esok satu persidangan meja bulat akan diadakan bagi membincangkan pembentukan pakatan pembangkang yang baru dan mengambil tempat di Hotel Empire Subang.
 
Persidangan meja bulat anjuran PKR itu dikatakan akan membincangkan resolusi ke arah pembentukan Pakatan Rakyat 2.0 selepas Pakatan Rakyat (PR) diisytiharkan tidak lagi wujud pada Julai lalu akibat kemelut berterusan antara PAS dan DAP.
 
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bertegas mahukan PAS menyertai pakatan pembangkang baru.
 
Namun kenyataan berbeza diberikan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang jelas menolak penyertaan PAS dalam gabungan pembangkang yang baru itu.
 
 

Tiada ulasan: