Selasa, 15 September 2015

PAS tak layan tuduhan 'orang luar parti' - Khairuddin Aman Razali

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
KUALA LUMPUR: PAS tidak akan terkesan dengan sebarang tuduhan negatif dilemparkan oleh bekas pemimpin dan ahlinya yang keluar parti, tegas Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Katanya, golongan seperti mereka akan mencari apa sahaja hujah untuk mewajarkan tindakan mereka keluar dari parti Islam itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad bahawa tujuan penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai menolak pendekatan politik PAS yang semakin terpinggir.

"Saya tidak perlu ulas tuduhan Khalid Samad sebab beliau sudah berada di luar parti. Orang yang keluar parti akan mencari pelbagai alasan untuk mewajarkan beliau keluar parti. 

"Itu hak beliau (untuk buat kenyataan). Kita tidak perlu respon semua tohmahan dan tuduhan. Beliau lebih tahu apa di dalam PAS sebab beliau asalnya orang PAS. 

"Itu hanya alasan yang cuba direka mereka yang keluar dari parti. Teruskan pendirian mereka. Dan kami di dalam PAS akan teruskan perjuangan di dalam parti," katanya yang ditemui pemberita selepas sidang media pelancaran Program Himpunan 60 Ribu di Ibu Pejabat PAS, petang tadi.

Khalid Samad sebelum ini mendakwa sikap kepimpinan PAS yang mahu menjadi dominan dalam kerjasama Pakatan Rakyat (PR) menjadi punca perpecahan di dalam parti itu sendiri dan juga kerjasama pembangkang.

Menafikan dakwaan penubuhan Amanah oleh bekas pemimpin progresif PAS kerana tamak dan inginkan kuasa, Ahli Parlimen Shah Alam itu juga mendakwa parti Islam berkenaan seolah-olah menuju ke arah politik terpinggir yang pernah dilalui sebelum ini.

Khairuddin yang ditemui tadi juga enggan mengulas dakwaan Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir bahawa penghijrahan beramai-ramai ahli PAS kepada Amanah akan melumpuhkan kekuatan parti Islam itu.

"Tidak perlu melayan pandangan Amanah yang belum lagi wujud. Saya tidak akan ulas pandangan mereka yang keluar parti terhadap PAS," tegasnya.

Amanah merupakan parti politik pembangkang baru yang ditubuhkan bekas pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan parti Jun lalu.

Mereka juga merupakan golongan pemimpin yang tidak sebulu dengan kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Amanah kini sedang berunding dengan PKR dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat 2.0.

Tiada ulasan: