Sabtu, 12 September 2015

Pas sedia terima wakil rakyat lain

Takiyuddin Hassan


SHAH ALAM - Pas sedia menerima wakil rakyat dari parti lain yang beralih arah kepada parti Islam itu meskipun datang daripada parti pembangkang, PKR yang masih mempunyai kerjasama politik.

Setiausahanya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu "adil" kepada Pas susulan keluar masuk pemimpin itu bagaikan pertukaran pasukan bola sepak.

"Apabila wakil rakyat Pas boleh pergi ke parti lain yang mempunyai hubungan dengan Pas, maka saya rasa adalah adil kepada Pas, mana-mana wakil rakyat parti lain pun bebas sertai Pas.

"Kita terbuka dan bersedia menerima ahli-ahli Parlimen parti lain, belum ada lagi, kalau bola ada pindah pemain dari satu pasukan ke pasukan lain, politik pun sama," katanya kepada pemberita pada Kongres Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar yang meninggalkan Pas dan menyertai PKR pada Jumaat.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, semalam.

Takiyuddin juga berkata, walaupun pihaknya agak keberatan selepas kehilangan dua ahli Parlimennya sebelum ini, namun ia tidak menjejaskan peranannya dalam Parlimen Malaysia.

"Apa pun parti, mana pun mereka sertai, pokoknya mereka keluar dari Pas, satu peristiwa yang kita tak suka, tapi kena terima hakikat itu.

"Kita masih boleh berperanan dengan sebaiknya walaupun bilngan Ahli Parlimen Pas berkurangan, tapi kita tidak akan berhenti di situ saja, akan ada pertambahan selepas ini," ujarnya.

Ditanya tentang tindakan ahli Parlimen Tumpat itu menyebabkan Pas akan mengkaji semula tahaluf siyasi dengan PKR, beliau berkata tiada keperluan pada masa ini.

"Saya rasa tidak timbul benda (kaji semula tahaluf siyasi) itu," katanya lagi.


Tiada ulasan: