Ahad, 13 September 2015

PAS perlu kekal dalam gabungan pembangkang

Zulaikha Zulkifli 






Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata parti itu perlu kekal dalam satu gabungan demi memperkukuhkan lagi pembangkang di negara ini.

Mengakui kekuatan pembangkang berada dalam satu gabungan, MP Pasir Mas itu bagaimanapun berkata asas hormat menghormati perlu ada untuk terus kekal dalam sebagai satu pakatan.

"Kita konsisten bahawa kita perlu kuat dan kekuatan pembangkang ialah dalam gabungan. Dan selagi mana boleh bergabung, kita akan kekal bergabung dalam gabungan politik tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini, menjelang pertemuan antara wakil parti itu dengan PKR bagi membincangkan mengenai pakatan baru pembangkang esok.

Pertemuan itu akan diadakan di ibu pejabat PKR jam 2.30 petang.

Isu penyertaan PAS dalam gabungan baru timbul selepas PKR bertegas mahu PAS dalam gabungan itu tetapi dibantah oleh DAP.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, parti Islam itu tidak mustahil bergerak sendirian.

Ini kerana, Abdul Hadi berkata, gabungan baru itu tidak mempunyai agenda memartabatkan Islam dan hanya mahu memenangi pilihan raya akan datang.


Tiada ulasan: