KUALA PILAH - Pas mahu meletakkan calonnya untuk bertanding kerusi yang ditandingi DAP sebelum ini pada PRU14.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya kini sedang
meneliti mengenai rancangan tersebut, termasuk pemilihan calon yang
difikirkan sesuai bertanding di kerusi berkenaan.
Menurutnya, pihaknya juga akan meletakkan calon bukan Islam menerusi
Dewan Himpunan Penyokong Pas bagi mewakili parti untuk kerusi berkenaan.
“Apabila kita sudah tidak ada kerjasama dengan DAP sekarang ini, sudah
pasti PRU akan datang mempunyai perhitungan lain daripada yang lalu.
“Pas tidak akan teragak-agak untuk menempatkan calon kita, malah kini
di peringkat kajian mendalam bersama Jawatankuasa Pilihanaraya Pas dan
pimpinan pusat untuk meletakkan calon bukan Islam bagi mewakili Pas.
“Saya yakin ada ramai wakil daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas yang
layak serta boleh diketengahkan menjadi calon kepada Pas nanti,”
katanya.
Menurutnya, tidak salah jika calon bukan Islam mewakili Pas, selagi mereka mendukung serta menyokong konsep perjuangan parti.
Bahkan katanya, mengikut hukum syariat Islam berbeza dengan ideologi
lain, Islam boleh melantik orang bukan Islam sebagai menteri,
bagaimanapun dari aspek eksekutif bukan pembuat dasar.
“Ini berlaku pada awal Islam, di mana ada di kalangan orang bukan Islam
yang mendukung pemerintahan Islam walaupun mereka tidak masuk Islam,”
katanya ketika ditemui pada program Himpunan Istiqamah Pas di Melang Inn
di sini, semalam.
Turut serta, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi meminta Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak membuat satu kenyataan adil dan telus bagi memberi
penjelasan kepada rakyat berkaitan isu RM2.6 bilion yang kini hangat
diperkatakan di peringkat antarabangsa.
“Saya mahu supaya satu penyiasatan dan kenyataan yang adil dan telus dapat dilaksanakan.
"Sebagai tanggungjawab moral, Najib mesti menjelaskan kepada rakyat apa sebenarnya berlaku,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan