A AZIM IDRIS
Samsu berkata, kekuatan
utama PAS adalah melalui strategi kempen dan posternya yang ternyata
lebih teratur serta menyerlah, berbanding parti pembangkang lain.
KUALA LUMPUR, Pakatan Harapan (PH) dilihat bakal berdepan laluan sukar pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kerana mengetepikan PAS dalam pembentukannya.
Penganalisis politik dari Universiti
Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Azizuddin Mohd Sani berkata, ia
disebabkan parti Islam itu adalah parti terbesar di luar Barisan
Nasional (BN) dan mempunyai sokongan kuat di kawasan luar bandar yang
mempunyai jumlah kerusi banyak.
Menurutnya, tanpa PAS dalam PH, PKR
dilihat cuba mengikut langkah Semangat 46, dengan membentuk dua gabungan
ketika PRU pada 1990.
“PKR masih mengekalkan hubungan dengan PAS, sekalipun telah membentuk gabungan baru.
“Dalam konteks ini, ia seolah-olah sama
dengan langkah Semangat 46 pada 1990-an, namun prestasi mereka tidak
baik pada PRU itu,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.
Tambahnya,
Semangat 46 ‘mengetuai’ dua gabungan politik itu, disebabkan DAP tidak
bersetuju dengan PAS berhubung isu penubuhan negara Islam dan
pelaksanaan hukum hudud, ia seakan-akan sama dengan situasi ketika ini.
“Jika PAS tiada kali ini, pembangkang mungkin kehilangan sokongan di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Jelasnya lagi, prestasi parti pembangkang
akan terjejas, jika berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU akan
datang, yang akan memecahkan undi di kalangan penyokong.
“Senario ini sudah tentu memberi
kelebihan kepada BN, tetapi mereka juga perlu menyelesaikan masalah
dalaman yang berlaku dalam Umno dan MIC.
“Malah, MCA juga harus menangani masalah kekurangan sokongan daripada pengundi dalam masyarakat Cina,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari
Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Samsu Adabi
Mamat berpendapat, parti-parti pembangkang telah kehilangan sebuah
‘aset’ berharga, kerana PAS memiliki jentera parti yang kuat.
Samsu Adabi berkata, kekuatan utama PAS
adalah melalui strategi kempen dan posternya yang ternyata lebih teratur
serta menyerlah, berbanding parti pembangkang lain.
“Jadi, ia akan melambatkan usaha
pembangkang untuk merampas Putrajaya, kerana PAS mempunyai kekuatannya
tersendiri dan ia akan menyebabkan berlakunya penurunan dari segi
sokongan kepada gabungan pembangkang,” tegasnya.
Tambahnya, momentum ketiadaan PAS itu
akan dirasai, terutamanya di empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu,
Kedah dan Pahang, yang mana majoriti pengundinya dikuasai orang Melayu.
Mengenai hubungan PKR dengan PAS, Samsu
Adabi berkata, ia merupakan ‘taktik’ PKR, bagi mengelakkan risiko
kehilangan mandat di Selangor.
“Tanpa PAS di Selangor, mereka (PKR)
berada dalam keadaan tidak menentu, kerana dengan siapa lagi PKR hendak
membentuk kerajaan negeri, jika tidak dengan PAS,” katanya.
Tambahnya, ada kemungkinan besar PAS akan membentuk gabungan lemah untuk merampas kuasa di negeri-negeri lain.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/09/23/parti-pembangkang-lemah-tanpa-pas/#ixzz3mXIqRiyo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan