Sabtu, 5 September 2015

Nik Zawawi tempelak Hanipa: Apa kaitan baiah dengan hudud?

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic


SHAH ALAM: Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh 'hairan' dengan tindakan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah), Hanipa Maidin yang mengaitkan kontroversi baiah dengan pelaksanaan hudud di Kelantan.

"Yang pertamanya, beliau bukan seorang ahli agama dan tidak mendapat pendidikan secara formal dalam bidang syariah Islam.

"Keduanya, apakah kaitannya baiah dengan pelaksanaan hudud? Saya tidak faham apakah maksud yang ingin disampaikannya," katanya kepada Antarapos, hari ini.

Terdahulu Hanipa menyifatkan desakan PAS terhadap bekas pemimpin-pemimpin parti itu yang melanggar baiah sehingga jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing mencerminkan petanda tidak baik terhadap agenda PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Islam itu.

Ahli Parlimen Sepang itu menyelar sikap PAS itu kerana menyebabkan ramai pihak berpandangan PAS lebih gemar menghukum berbanding menegakkan keadilan.

Menegaskan kontroversi baiah tersasar jauh dari isu hudud yang cuba diketengahkan Amanah, Nik Zawawi kemudiannya menggesa ahli-ahli parti politik baru berkenaan melihat kembali niat mereka ketika melafazkan taat setia itu.

"Mereka kena teliti dengan baik. Jawab dengan jujur dan ikhlas kerana Allah SWT mengetahui apakah yang sebenarnya di dalam baiah mereka. Saya tahu di dalam hati kecil mereka terasa bahawa baiah mereka adalah satu perkara besar. Namun kerana sikap ego menyebabkan mereka mencari seribu satu alasan untuk membatalkan baiah," tegasnya.

Nik Zawawi dalam pada itu meluahkan rasa kesalnya terhadap reaksinya Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu yang meminta ahli-ahlinya berpegang kepada pandangan ulama yang ringan.

"Semua yang bercakap ini bukan orang agama. Mana ada satu mazhab di dalam Ahli Sunnah Jamaah yang mengatakan baiah longgar dan boleh dibatalkan. Saya rasa beliau terkeliru dengan al-yamin (sumpah).

"Tidak ada ulama muktabar membenarkan langgar baiah," tegasnya.

Mohamad sebelum ini meminta ahli-ahli Amanah yang terkesan dengan sumpah baiah tidak hanya berpegang kepada pandangan dan mazhab tertentu sahaja, sebaliknya perlu merujuk pandangan banyak pihak, seperti ulama dunia Dr Yusof Al-Qaradhawi, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor.

“Sekali lagi saya menyeru kepada mereka yang terlibat dalam hal ini agar meletakkan kesabaran paling tinggi dan bertawakal kepada Allah.

 “Dan pada masa yang sama, berpeganglah kepada pandangan yang paling ringan di antara pandangan-pandangan ulama yang boleh diterima pakai,” demikian memetik kenyataan Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Tiada ulasan: