Ahad, 6 September 2015

Negara terus dalam bahaya selagi Najib ada



Oleh Shahbudin Husin 


Persidangan anti rasuah antarabangsa (IACC) yang berakhir Jumaat lalu secara langsung telah mencemarkan nama Malaysia. Ia bukan saja kerana isu derma RM2,600 juta yang diterima Najib Razak menjadi fokus utama peserta daripada 130 buah negara, tetapi tentunya juga kerana mereka akan pulang ke negara masing-masing dengan tanggapan yang buruk mengenai negara kita.

Memang benar negara kita belum sampai ke tahap mengalami krisis rasuah tetapi sebagaimana kesimpulan IACC yang menyebut bahawa wang RM2,600 juta itu mempunyai segala elemen berkaitan rasuah mengikut tafsiran antarabangsa, kegagalan memberi penjelasan kukuh mengenainya seolah-olah kita sedang terjebak dengannya.

Dengan itu, selagi tiada penjelasan atau Najib terus berdiam diri saja, penerimaan wang sebanyak itu boleh bertukar menjadi "ibu segala rasuah" yang akan menenggelamkan segala kebaikan dan nama baik negara dalam aspek yang lain.

Selain IACC tahun ini telah memalukan Malaysia melalui hujah-hujah peserta daripada 130 buah negara berikutan angka RM2,600 juta itu dianggap terlalu luar biasa, ketidakhadiran Najib dalam persidangan di mana Malaysia menjadi tuan rumahnya setelah dinasihatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low seakan turut mengesahkan bahawa Perdana Menteri memang dalam keadaan bersalah dan tidak mampu berhujah jika diajukan persoalan mengenai wang tersebut.

Jika Najib benar-benar yakin wang tersebut adalah derma yang suci sifatnya, beliau tentu boleh berkeras mahu menghadiri persidangan itu. Begitu juga dengan Paul Low, menteri yang bertanggungjawab terhadap intergriti, kiranya beliau sendiri yakin dengan sepenuh hati wang RM2,600 juta itu bukan rasuah, pasti tidak dinasihatkannya agar Najib jangan menghadirinya.

Tetapi semuanya sudah berlalu. Dengan imej buruk negara melalui persidangan dan ketidakhadiran Najib itu, pandangan dunia terhadap negara kita turut dibayangi lebih banyak warna kehitam-hitaman selepas ini.

Kesan buruknya akan menjalar kepada kehidupan rakyat yang meliputi aspek politik, ekonomi, sosial, pertukaran ringgit, iklim perniagaan, penurunan pasaran saham, kesejahteraan, keamanan dan sebagainya.

Lebih buruk lagi kerana rakyat dalam negara sendiri tidak dapat menerima kemasukan wang RM2,600 juta ke dalam akaun peribadi Najib itu sekadar derma semata-mata. Semua segmen masyarakat sedang memperkatakannya dan rata-rata tidak melihatnya sebagai derma.

Luahan rasa rakyat paling mudah dapat difahami melalui kehadiran dalam himpunan Bersih 4 yang diadakan selama 34 jam baru-baru ini. Jika sekadar menuntut pilihanraya yang bersih, tidak mungkin 500 ribu orang sanggup turun ke jalanraya dan sebahagiannya rela mengorbankan keselesaan dengan tidur di atas jalanraya dan dalam khemah kecil hanya dengan berselimutkan angin malam semata-mata.

Tidak lain keghairahan rakyat turun ke perhimpunan itu ialah untuk memberi lebih tekanan kepada Najib agar berundur dan meletakkan jawatan dengan segera. Daripada jeritan semangat rakyat berbaju kuning itu dan apa yang terpancar di wajah ribuan yang hadir itu, jelas mereka tidak dapat menerima lagi kepimpinan Najib.

Tidak dinafikan Najib berhak untuk bertahan sehingga pilihanraya umum akan datang dan tidak memperdulikan isyarat yang dihantar rakyat ini. Tetapi dengan kesanggupan rakyat berhimpun dan bermalam dalam Bersih 4 ini ia seperti memberi bayangan bahawa Arab Spring dan kebangkitan rakyat seperti di Filipina, Indonesia dan Thailand turut tidak mustahil akan menjelma bersama kedegilan itu.

Rasa tidak puas hati dan kemarahan rakyat kali ini sebenarnya berbeza dengan yang berlaku ketika era Tun Mahathir Mohamad dulu. Ketika itu ia hanya berkaitan politik dan kepimpinan tetapi kini ia terangkum mengenai politik, kepimpinan, masa depan negara dan perlakuan tidak wajar oleh seorang pemimpin yang sukar diterima.

Sebab itu Tun Mahathir dapat menangani segala cabaran dan tentangan terhadapnya hanya dengan kecekalan. Najib pula, sebagaimana yang disebut oleh Tun Mahathir ketika turut sama turun dalam Bersih 4, telah merosakkan sistem undang-undang negara melalui campurtangannya semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya.

Di samping memecat anggota kabinet yang menegurnya, menyingkirkan Gani Patail sebagai Peguam Negara, menukar dan mengganggu pegawai-pegawai SPRM dan menggantung permit akhbar, Tun Mahathir juga berkata, beliau tidak akan turun menyertai Bersih 4 untuk bersama-sama rakyat menyatakan bantahan kiranya pasukan petugas khas yang menyiasat mengenai wang tersebut tidak dibubarkan sebelum hasil siasatannya dikeluarkan.

Tidak diragui lagi, Najib sedang melakukan ancaman dan meletakkan negara di jurang yang bahaya. Pandangan dunia dan rakyat sendiri kepada negara ini menjadi semakin buruk selagi beliau menjadi Perdana Menterinya.

Najib akan terus menghadapi kesukaran untuk menjelaskan atau berterus terang mengenai wang tersebut lantaran hampir tiada kebenaran ia sekadar derma, kecuali melencongkan perhatian rakyat kepada aspek lain. Hanya itu yang mampu dilakukan, sebab itu jawapan dan penjelasan sentiasa berbeza-beza di kalangan pemimpin UMNO sendiri.

Bayangkan apa akan berlaku kepada negara dan kehidupan rakyat jika Najib terus berdegil untuk bertahan sehingga PRU 14 yang bakal diadakan tahun 2018 nanti?

Sanggupkah kita membayangkannya?- bm.theantdaily.com

Tiada ulasan: