shahbudindotcom
Mesyuarat
MT UMNO yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama akhirnya memutuskan
tiada mana-mana pemimpin dipecat atau digantung jawatannya sebagaimana
spekulasi awal yang tersebar luas sejak beberapa hari lalu.
Ini
bermakna Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal, Mukhriz Mahathir dan beberapa
yang lain yang dihebohkan akan menerima hukuman akibat kelantangan dan
sikap kritikal terhadap Perdana Menteri, Najib Razak berkaitan isu 1MDB
dan derma RM2,600 juta, tidak menjadi kenyataan.
Ia
juga bermakna Muhyiddin akan terus kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO
tanpa jawatan Timbalan Perdana Menteri, begitu juga dengan Shafie kekal
sebagai Naib Presiden UMNO yang mendapat undi kedua tertunggi, tetapi
tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet.
Sekiranya
tidak melakukan sesuatu yang memungkinkan diambil apa-apa tindakan
selepas ini, kedua-dua mereka akan terus duduk dalam barisan kepimpinan
tertinggi UMNO sehinggalah PRU 14 dan pemilihan parti yang sudah
dianjakkan tempohnya sehingga tahun 2018.
Secara
umumnya, ketidakberanian Najib Razak mengambil apa-apa tindakan
terhadap Muhyiddin dan Shafie adalah kerana bimbangkan kesan lebih buruk
kepada masa depan UMNO dan juga kedudukannya sebagai Perdana Menteri
yang mungkin di luar jangkaannya jika tindakan itu diambil.
Sebaik
tersebar spekulasi kedua-dua pemimpin itu akan dipecat, pelbagai
peringkat dalam UMNO menyatakan rasa bimbangnya jika tindakan itu
benar-benar diambil kerana ia akan memberi kesan yang serius kepada
perpecahan di peringkat akar umbi.
Dengan
perpecahan yang bakal berlaku itu, bukan saja harapan mengekalkan kuasa
UMNO dan BN di peringkat pusat dilihat akan bertambah sukar, malah
ramai yang mengatakan beberapa negeri akan lebih mudah dimenangi
pembangkang berikutan majoriti kemenangan tipis saja dicapai BN dalam
pilihanraya lalu.
Reaksi
menolak pemecatan Muhyiddin dan Shafie, selain dapat difahami melalui
luahan beberapa pemimpinnya yang masih rasional, ia juga ditunjukkan di
bangunan UMNO sebelum bersidangnya mesyuarat MT hari ini.
Walaupun
kehadirannya tidaklah seramai ketika memberikan sokongan terhadap Anwar
Ibrahim pada 1998 dahulu, tetapi kesediaan mereka membawa poster,
memakai baju T khas untuk menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin dan
datang pula dari pelbagai pelusuk negeri, sudah cukup memberi mesej
bahawa UMNO akan terus bergolak sekiranya berlaku sebarang pemecatan
atau penggantungan.
Kehadiran
ramai penyokong Muhyiddin dan Shafie di luar Bangunan UMNO juga
berjaya "menggerunkan" Najib sehingga beliau dilaporkan terpaksa naik
ke tingkat 39 untuk mempengerusikan mesyuarat ini dengan menggunakan lif
khas melalui pintu belakang.
Akhirnya
suara akar umbilah yang telah menyelamatkan kedudukan Muhyiddin dan
Shafie ini lantaran kedua-duanya dilihat tidak melakukan sebarang
kesalahan yang melanggar disiplin parti melalui teguran terhadap
Presiden berkaitan 1MDB dan wang RM2,600 juta yang diterimanya itu.
Menyingkirkan
daripada kabinet memang kuasa Najib selaku Perdana Menteri, tetapi
memecat atau menggantung jawatan mereka yang menang dalam UMNO melalui
undi perwakilan tidak seharusnya meremehkan suara akar umbi itu sendiri.
Dan cuba bayangkan apa keputusan MT hari ini jika tiada sebarang reaksi bantahan daripada akar umbi UMNO?
Bagaimanapun, beberapa persoalan tetap timbul melalui keputusan mesyuarat MT UMNO hari ini. Antaranya:-
- Apakah Najib lebih disokong dalam UMNO dan suara mendesaknya berundur akan berkurangan dengan keputusan ini?
-
Bagaimanakah pula pendirian politik Muhyiddin dan Shafie selepas ini?
Setelah dinyatakan kedua-duanya terus setia kepada parti dan akan
bekerja keras untuk kemenangan UMNO dalam PRU 14 akan datang, adakah
mereka juga akan taat setia kepada Najib?
-
Adakah selepas ini Muhyiddin dan Shafie akan jadi "bisu" atau berhenti
bercakap mengenai 1MDB dan wang RM2,600 demi menyelamatkan jawatan
mereka dalam UMNO berikutan Najib turut menyatakan kedua-dua pemimpin
masih perlu membuktikan kesetiaan mereka?
- Apakah Tun Mahathir Mohamad akhirnya akan jadi keseorangan dalam menegur dan mengasak pengunduran Najib daripada jawatannya?
-
Mampukah Najib bertahan memimpin kerajaan sehingga PRU 14 dan apakah
Muhyiddin dan Shafie akan turut mempertahankan kuasa Perdana Menteri
sehingga tempoh itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan