KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi
jaminan bahawa beliau tidak akan menjejaskan parti itu sekaligus
menguatkan Umno bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk
Seri Tajuddin Abdul Rahman sambil berkata mesyuarat parti itu hari ini
sebulat suara untuk mengukuhkan parti dan merapatkan hubungan antara
pimpinan Umno.
"Timbalan Presiden kata dia menyokong parti dan kepimpinan untuk kita hadapi pilihan raya.
"Dia tidak akan melakukan apa-apa yang menjejaskan parti, itu jaminan
dia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno,
di lobi Menara Datuk Onn, di sini, hari ini.
Beliau mengulas khabar angin mengatakan mesyuarat MT Umno hari ini akan
memecat beberapa pemimpin tertinggi parti itu termasuk Muhyiddin dan
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Selain Muhyiddin dan Mohd Shafie, turut tersenarai dalam khabar angin
pemecatan itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir;
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir; bekas
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan bekas Exco Perak,
Datuk Hamidah Osman.
Dalam pada itu, Tajuddin juga berkata mesyuarat parti itu hari ini
memberi peluang kepada semua ahli MT Umno untuk memberikan pandangan
untuk mengukuhkan parti.
"Mana boleh (penyingkiran), kita sekarang sudah bersatu teguh, bercerai
roboh. Kita memang sudah berbaik (dengan Muhyiddin) dari dulu lagi,
dulu kini dan selamanya.
"Presiden kata kita nak merapatkan hubungan sesama kita, sebab kita ada
perkara penting bagi hadapi pilihan raya akan datang, semuanya
(mesyuarat) ok, tiada masalah (suasana) kami terbuka," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi ahli MT Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim
berkata tiada perbalahan yang berlaku khususnya dari "kem" Muhyiddin
sendiri sepanjang mesyuarat parti itu, hari ini.
"Mesyuarat sangat bagus, perpaduan dan solidariti. Tiada perbalahan,
tiada kem, hanya ada Umno saja, dan Umno sekarang kuat," katanya.
Seorang lagi ahli MT Umno dari Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata,
tiada sesuatu yang luar biasa sepanjang mesyuarat parti itu, hari ini.
"Buat pertama kali mesyuarat dihadiri oleh Timbalan Presiden yang tidak menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
"Kita boleh duduk sama, satu nada, satu suara membincangkan strategi
parti untuk kemenangan Umno pada PRU14, walaupun kita punyai berbeza
berpendirian," jelasnya.
Ditanya tentang kedudukan Muhyiddin dalam parti, beliau menegaskan
bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan kekal sebagai Timbalan Presiden
Umno serta berperanan membantu memperkukuhkan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan