shahbudindotcom
Semua perhatian kini tertumpu kepada mesyuarat MT UMNO esok, 9 September untuk
mengetahui sama ada Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin dan
beberapa pemimpinnya yang lain yang agak kritikal terhadap Najib Razak
akan dikenakan tindakan atau sebaliknya.
Mereka
yang lain yang mungkin berdepan hukuman selain Muhyiddin, ialah Naib
Presiden UMNO, Shafie Apdal, Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Mukhriz
Mahathir, Ahli MT Aziz Sheikh Fadzir, bekas Menteri Besar Terengganu,
Ahmad Said, bekas Exco Perak, Hamidah Osman dan Ahli Parlimen Sepanggar,
Jumat Idris.
Mereka
ini diketahui kerap mengkritik Najib, terutama berkaitan isu 1MDB dan
wang RM2,600 juta yang mengalir masuk ke dalam akaun peribadi Perdana
Menteri.
Banyak pihak meramalkan ketujuh-tujuh mereka ini bakal berdepan hukuman pecat, gantung keahlian atau diberikan amaran keras.
Bagaimanapun,
Muhyiddin dan Shafie paling mungkin sekali menerima hukuman sama ada
pecat atau gantung keahlian berikutan kelantangan mereka mengkritik
Najib. Kedua-duanya juga sudah digugurkan daripada kabinet pada 28 Julai
lalu.
Mukhriz
pula, selain berdepan salah satu hukuman tersebut, kedudukannya sebagai
Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah dan Menteri Besar juga diramalkan
akan digugurkan, bukan saja sebagai hukuman kerana kelantangannya
mengkritik Najib, tetapi juga sebagai pantulan daripada tindakan
bapanya, Tun Mahathir Mohamad yang tidak henti-henti mengasak Perdana
Menteri hingga ke dinding.
Begitu
pun dengan Aziz, Ahmad Said dan Hamidah, hukuman yang menanti ialah
sama ada pecat, digantung jawatan atau sekadar diberikan amaran keras
saja.
Jumat
pula sudah pun digantung kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian
Sepanggar, Sabah beberapa bulan yang lalu dan dikhabarkan akan dipecat
terus kali ini.
Bagaimanapun, beberapa jam sebelum mesyuarat MT yang dijangka berlangsung pada pukul 2.30 petang di PWTC, Tun Mahathir pula dijadualkan kembali daripada lawatannya ke luar negara pada jam 12.30 tengahari di Lapangan Terbang di Subang.
Sejak
beberapa hari lalu, hebahan mengenai kepulangan bekas Perdana Menteri
itu telah disebarkan secara meluas melalui SMS, Whatsapp, FB, Email dan
sebagainya bagi tujuan menarik seramai mungkin orangramai menyambutnya.
Berdasarkan
respon dan maklumat rambang daripada pelbagai pihak, dijangka ribuan
orangramai daripada pelbagai latarbelakang ideologi politik akan
menyambut kepulangan Tun Mahathir esok berikutan suhu panas politik
semasa dan kepulangannya pula hanya beberapa jam sebelum mesyuarat MT
berlangsung.
Tidak
memeranjatkan jika Tun Mahathir menggunakan peluang terakhir sebelum
mesyuarat MT ini untuk terus melakulan "tembakan dan serangan" bagi
meningkatkan tekanannya terhadap Najib, setelah memeranjatkan banyak
pihak dengan sedia turun ke himpunan Bersih 4 sebanyak dua kali
baru-baru ini.
Apakah
Najib tetap dengan pendirian untuk memecat dan menyingkirkan mereka
yang tidak sehaluan dengannya jika ada peluru baru ditujukan kepadanya
oleh Tun Mahathir esok?
Mampukah
Tun Mahathir melalui serangan akhirnya nanti menghalang Najib dan MT
daripada bertindak kepada Muhyiddin dan enam pemimpin lain itu?
Di sebalik hujan dan jerebu, tetap ada yang akan terasa kepanasan menjelang esok.
Bagaimanapun,
rata-rata dalam UMNO bimbang sekiranya keputusan MT esok membawa akibat
dan kesan lebih buruk kepada parti pada masa hadapan.
Ramai
yang sedar, jika tiada sebarang tindakan diambil kepada Muhyiddin dan
yang lainnya, ia akan menyebabkan kesengsaraan kepada Najib dalam
memperkukuhkan parti kerana Timbalan Presiden UMNO dan rakan-rakannya
itu tentu saja akan terus melontarkan suara yang berbeza dalam pelbagai
isu selepas ini.
Dengan
bantuan Tun Mahathir yang melakukan serangan dari luar, Najib bukan
saja akan bertambah tidak selesa, malah mungkin menyebabkan hasratnya
untuk bertahan lebih lama di Seri Perdana tidak kesampaian.
Bagaimanapun,
jika pemecatan atau penggantungan Muhyiddin atau yang lain-lain pula
diambil, ia memang memberi keselesaan kepada Najib, tetapi kesan
buruknya kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya umuk akan datang mungkin
lebih teruk lagi.
Selain
Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan dijangka akan terus kekal dikuasai
pembangkang, sebarang pemecatan atau penggantungan pada esok juga
dijangka mengundang lebih bahaya kepada kekuasaan UMNO di Johor, Negeri
Sembilan, Terengganu, Perak dan Kedah.
Di
kelima-lima negeri ini, UMNO dan BN bukan saja menang dengan majoriti
undi yang kecil, bahkan ketika ini perbezaan jumlah kerusi dengan
pembangkang juga hanya boleh dibilang dengan jari sahaja. Dengan
perpecahan yang kecil saja sudah cukup menguntungkan pihak pembangkang.
Jika
sudah banyak negeri terlepas pegangan ke tangan pembangkang, tentulah
boleh dijangka di mana kedudukan UMNO dan BN di peringkat pusat nanti.
Simpati
rakyat dan ahli UMNO terhadap Muhyiddin dan Shafie sekarang ini ialah
kerana mereka dianggap tidak bersalah dari segi jenayah atau moral
sehingga dipecat daripada kerajaan, sebaliknya hanya kerana bertanya
soalan, menegur dan mahukan jawapan berkaitan 1MDB dan derma peribadi
yang menimbulkan keraguan ramai.
Sehubungan
itu, suatu majlis sembahyang hajat turut diadakan di Johor malam ini
untuk memohon perlindungan Tuhan terhadap perjuangan Muhyiddin demi
agama, bangsa dan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan