Selasa, 15 September 2015

M’sia lengahkan pembedahan Anwar, Nurul Izzah ke AS dapatkan sokongan

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Kelewatan Kerajaan Malaysia untuk membenarkan Anwar Ibrahim melakukan pembedahan kerana kecederaan bahu menyebabkan puteri sulungnya, Nurul Izzah terpaksa terbang ke Amerika Syarikat (AS) semalam untuk mendapatkan sokongan bagi tujuan itu.

Jelas Naib Presiden KEADILAN itu, tindakan tersebut diambil berikutan saranan panel doktor yang merawat Anwar supaya pembedahan segera dilakukan tetapi kerajaan seperti melambat-lambatkannya.

Nurul Izzah“Saya akan berjumpa dengan pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat, ahli politik, pemimpin badan bukan kerajaan dan peguam antarabangsa untuk menjelaskan tentang keadaan Anwar,” kata Nurul Izzah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, beliau akan dibantu Peguam Hak Asasi Manusia, Jared Genser yang sebelum ini bertindak memfailkan permohonan rasmi kepada Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pemenjaraan Anwar.

Bagaimanapun menurut Nurul Izzah, lawatan ke AS kali ini memfokuskan untuk mendapatkan bantuan berhubung kesihatan bapanya.

“Anwar perlukan pembedahan dengan segera dan ini dicadangkan sendiri panel doktor yang dipilih Kementerian Kesihatan,” katanya.

Menurut beliau, panel doktor mencadangkan, Anwar perlu diberikan pembedahan mikro atau pemindahan bahu (shoulder replacement) tetapi kerajaan dilihat melambat-lambatkannya.

Ekoran itu, beliau berharap sokongan antarabangsa dapat membantu Anwar mendapatkan rawatan segera.

“Saya bukan nak merayu kepada Amerika, (PM) Najib (Razak) pun mempunyai hubungan baik dengan Presiden Barrack Obama,” katanya merujuk kepada hubungan rapat Najib dan Obama, seperti dilapor The Malaysian Insider.

Nurul Izzah dalam pada itu berkata, beliau juga akan memberikan penjelasan tentang skandal menyelubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk derma RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan isu syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, beliau juga akan membawa isu hak asasi manusia yang lebih besar di Malaysia seperti penggunaan Akta Hasutan terhadap ahli politik dan orang awam serta kes penindasan hak asasi manusia lain.

Minggu lalu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bersama Nurul Izzah dan seorang lagi anaknya, Nurul Nuha.

Mereka sekali lagi diberi jaminan bahawa kesihatan Anwar akan diambil perhatian serius tetapi proses itu didapati sangat perlahan.


Tiada ulasan: