A AZIM IDRIS
Umno tidak boleh
dihancurkan dari luar, Umno boleh dihancurkan dari dalam. Oleh itu, kita
mesti mengukuhkan dalaman Umno itu sendiri dengan memberikan penjelasan
yang tepat terhadap isu utama - Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata dia yakin mesyuarat Majlis Tertinggi esok akan menghasilkan perkara yang positif.
Katanya, Timbalan Presiden, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,
dijangka hadir meskipun digugurkan daripada Kabinet baru-baru ini.
“Tidak menjadi masalah, mereka masih Timbalan Presiden Umno, mereka masih Naib Presiden Umno.
“Begitu juga Datuk Hasan Malek (bekas
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) yang telah
digugurkan daripada Kabinet.
“Saya yakin mereka akan hadir esok.
“Kami sebagai satu keluarga Umno, kami
tahulah bagaimana hendak menyelesaikan masalah kami dan saya yakin
perkara yang baik saja akan berlaku esok, Insya’Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman
mengenai Program Pemimpin Dasar Ekonomi di Malaysia yang membabitkan
Temasek Foundation (TF) dan Singapore Enterprise (SCE).
Ahmad turut ditanya samada perasaan tidak puas hati di dalam parti dalam keadaan terkawal.
Beliau berkata, majoriti ahli Umno tidak
kisah tidak seperti sebilangan kecil pemimpin yang perlu bertemu sendiri
mereka secara peribadi untuk memberikan penjelasan mengenai isu semasa
yang melanda parti.
Ahmad berkata, penjelasan diberikan
kepada beberapa bahagian mengenai perkembangan terkini parti dan negara
masih diteruskan oleh kepimpinan parti, sambil menambah dia sudah
membuat penerangan kepada 17 bahagian di tujuh negara lebih seminggu
lalu.
Katanya, tindakan itu turut dilakukan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
“Dalam mesyuarat Bahagian, kebanyakan
mereka mempersoalkan isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), selain
(bekas Perdana Menteri) Tun Mahathir Mohamad, kejatuhan nilai Ringgit,
harga komoditi dan prospek ekonomi pada masa hadapan.
“Mereka turut bertanya mengenai Muhyiddin
dan soalan lain yang kami terima secara terbukan dalam siri mesyuarat
tertutup,” katanya, sambil menegaskan penjelasan penting bagi
membolehkan ahli parti menyebarkan maklumat sebenar dalam media sosial.
Dalam nasihatnya kepada ahli bahagian, Ahmad berkata, mereka diminta setia, bersatu dan teguh dalam membantu parti.
“Ini penting kerana Umno tidak boleh
dihancurkan dari luar, Umno boleh dihancurkan dari dalam. Oleh itu, kita
mesti mengukuhkan dalaman Umno itu sendiri dengan memberikan penjelasan
yang tepat terhadap isu utama,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan