Jumaat, 18 September 2015

'Mereka tak faham erti mati'

'Mereka tak faham erti mati'
Kejadian kemalangan langgar lari yang meragut nyawa suami Kamariah.


DUNGUN - Empat beradik dari Kampung Sura Tengah, di sini, bukan sahaja bergelar anak yatim dalam sekelip mata tetapi hilang tempat bergantung apabila bapa mereka, Mohd Zaidi Abd Latif, 34, meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas jalan raya, di Teluk Lipat di sini, 13 Ogos lalu.

Apa yang menyedihkan, kesemua anak Allahyarham iaitu Mohd Haikal Danial, 8, Nur Ain Balkishah, 6, Nur Haida Akmar, 4 dan Mohd Ashraf Hakimi, 2 masih tidak mengerti apa yang menimpa bapa mereka.

Isteri mangsa, Kamariah Ibrahim, 31, berkata, suaminya terlibat dalam kemalangan langgar lari membabitkan motosikal dan kereta serta mengalami kecederaan teruk.

Menurutnya, selepas seminggu dirawat di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), suaminya menghembuskan nafas terakhir dan kini dialah menggalas tanggungjawab besar untuk menjaga anak-anak.

Buat masa sekarang Kamariah dan anak menumpang di rumah ibunya yang juga ibu tunggal di kampung berkenaan.

“Sebelum ni kami tinggal di Johor, tapi pada Mac lalu Allahyarham suami beria-ia ajak pindah di sini untuk jaga emak saya dan dia buat macam-macam kerja kampung macam buruh kasar.

“Walaupun hidup sederhana, kami tiada masalah.. tapi sekarang apabila dia dah tiada saya buntu kerana tak tahu kepada siapa mahu bergantung,” katanya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

Harap ihsan abang

Kamariah berkata, ibunya juga tiada punca pendapatan tetap dan kini mereka hanya mengharapkan ihsan abangnya yang bekerja sebagai tukang rumah.

“Buat masa sekarang saya tak boleh cari kerja memandangkan masih dalam edah, tapi selepas ini saya akan berusaha demi masa depan anak-anak.

“Dua anak saya dah bersekolah, tapi mereka masih tidak memahami erti kematian dan menganggap perkara ini seketika sahaja.

“Jika anak-anak bertanya tentang bapa mereka, saya akan bawa mereka ke kubur dan sampai di sana mereka akan menangis,” katanya.

Mohon bantuan JKM

Kata ibu muda ini, dia kini dalam proses untuk membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

“Saya dah ambil borang dan akan hantar permohonan dalam masa terdekat apabila segala urusan dah selesai.

“Jika ada bantuan JKM sekurang-kurangnya dapatlah tampung keperluan anak,” katanya.

Ibu Kamariah yang enggan dikenali berkata, dia sedih memikirkan nasib cucunya kerana mereka masih belum memahami erti kesusahan.

“Bangun pagi-pagi mereka terus minta makan, tapi kadang-kadang rezeki tiada.. mereka menangis.

“Melihat mereka menangis saya pun turut menangis kerana tak mampu tahan sebak. Apa yang diharapkan nasib mereka terbela walaupun dah tak ada bapa,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian menghubungi JKM Dungun bagi merujuk kes berkenaan.

Pegawai JKM Dungun, Mohd Naufal Yusoff berkata, keluarga terbabit disaran menghantar permohonan supaya proses bantuan bersesuaian dapat disalurkan.

“Pihak JKM akan buat penelitian berdasarkan permohonan dihantar dan bantuan akan disalur ikut kesesuaian.

“Biasanya untuk kes sebegini, kita salurkan Bantuan Kanak-kanak (BKK) atau yang bersesuaian,” katanya.


1 ulasan:

Unknown berkata...

kenapa taknak siarkan no acct utk yg perihatin nak menyumbang tapi jauh dari tempat tinggal mereka.