Khamis, 10 September 2015

Menempat Hakikat Tawakkal

Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin


Jika kita sentiasa memohon pertolongan dan pilihan Allah dalam tindakan kita, Allah tidak akan meninggalkan kita. Dengan bertawakkal kepada Allah, peristiwa-peristiwa yang kita lalui dalam hidup akan dapat kita lihat satu susunan yang indah dan penuh hikmah.

Ada peristiwa yang mungkin kita kehairanan apakah rahsia di sebaliknya, namun apabila kita sedar bahawa Allah tidak akan meninggalkan kita jika kita sentiasa bergantungan kepadaNYA, maka kita yakin di sana ada kurniaan dan kebaikan.

Hidup ini menjadi pemandangan yang indah apabila kita menggabungkan segala anasir kehidupan. Indahnya sungai dengan ada pohon-pohon yang melambai. Indahnya air dengan dikelilingi oleh tebing yang cantik.

Awan, angin, air, kemanusiaan, hijauan, haiwan akan menjadi indah dan permai apabila digabungkan. Ia mungkin hodoh apabila dipisahkan sendirian. Maka lihatlah episod-episod kehidupan secara gabungan bukan secara terpisah.

Pagi-pagi, dengan zikir dan tawakkal kita memulakan kehidupan. Kita tahu bahawa tiada daya dan upaya dalam kehidupan ini melainkan dengan pertolongan Allah.

Tawakkal menjadikan kita yakin dengan penyudahan jalan cerita bagi setiap episod yang kita lalui. Lantas kita merasai lazatnya tawakkal dan manisnya hidup.

Cumanya, apa yang insan sering gagal bukan menyebut perkataan tawakkal, tetapi bagaimanakah menempatkan hakikat tawakkal itu dalam jiwa yang melayakkan datangnya pertolongan Allah.

Tiada ulasan: