Sabtu, 26 September 2015

Menanti 'oksigen' untuk ringgit

Mahfuz Omar


 


Saya menyokong gesaan oleh Tan Seri Zeti Akhtar Aziz, gabenor Bank Negara yang menggesa penyelesaian segera kes 1MDB bagi memulihkan kembali nilai mata wang ringgit Malaysia.

Keadaan nilai mata wang ringgit Malaysia berada dalam keadaan nazak sehingga hotel di negara China tidak menerima tukaran wang Ringgit Malaysia.

Saya sendiri alaminya di Hotel Shangrila, milik jutawan Malaysia di Changchon City Wilayah Jillin pada 30 Ogos hingga 2 September lalu.

Apabila saya bertanya mengapa ringgit tidak terima, pihak hotel memberi tahu bank di sana tidak lagi menerima tukaran wang Malaysia.

Gesaan Zeti menunjukkan nilai matawang Malaysia pada tahap yang nazak perlu diselamatkan dan diberi "oksigen".

Keberanian Zeti meletakkan 1MDB antara punca masalah, menunjukkan hasil siasatan Bank Negara bahawa 1MDB mempunyai kes yang perlu menyeret pihak tertentu ke mahkamah.

Laporan siasatan Bank Negara berkaitan kes 1MDB telah diserahkan kepada Peguam Negara sebulan yang lalu tetapi masih tiada apa- apa tindakan yang diambil.

Apa yang berlaku ialah tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui pihak polis menahan Datuk Khairudin Abu Hassan di Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Langkah ini tidak membantu memulih nilai Ringgit sebaliknya menambahkan lagi ketidakpercayaan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia.

Krisis keyakinan

Kejatuhan nilai ringgit berpunca daripada krisis keyakinan masyarakat dalam dan luar negara terhadap pengurusan dan kes penyalahgunaan kuasa bagi melindungi skandal kewangan negara 1MDB yang melibatkan Najib dan kini dilindungi SOSMA.

Gesaan Zeti perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Pendakwaan segera mereka yang terlibat dalam Skandal 1MDB seperti yang dicadangkan dalam Kertas Laporan Siasatan oleh Bank Negara akan mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa khususnya pelabur terhadap Malaysia.

Ini sekali gus akan dapat membantu memulihkan ekonomi dan meningkatkan nilai ringgit. Peguam Negara jangan dilihat menjadi macai politik Najib.

Gesaan Zeti yang tidak dipedulikan oleh kerajaan menunjukkan Gabenor Bank Negara dan Bank Negara sendiri telah diketepikan peranannya untuk bertanggungjawab terhadap kawalan, pertumbuhan nilai matawang dan ekonomi Malaysia.

Institusi ini sudah tidak mendapat kepercayaan Najib dan kerajaan Malaysia.

Sekali lagi saya menegaskan Majlis Raja-Raja Melayu perlu bertindak segera terhadap Najib dan bertindak untuk pastikan Najib segera berundur serta pemilihan perdana menteri baru.

Begitu juga pembentukan kerajaan peralihan daripada pelbagai pihak perlu segera untuk memperbaiki sistem dan institusi yang menjaga kepentingan awam perlu bebas daripada cengkaman kuasa politik parti pemerintah.


DATUK MAHFUZ OMAR ahli Parlimen Pokok Sena.

Tiada ulasan: