Sabtu, 26 September 2015

MCA sedia gempur Lim Kit Siang di Gelang Patah

 
UMNO bersetuju untuk memulangkan kerusi berkenaan kepada MCA yang dipinjamkan pada PRU13.


liow-tiong-lai_lim-kit-siang_600


PETALING JAYA: MCA sedia ‘menggempur’ pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata keputusan itu dibuat selepas Penasihat DAP itu gagal menjaga rakyat di kawasan berkenaan.

“Apa yang terjadi (di Gelang Patah) sekarang Lim (Kit Siang) langsung tak layan penduduk di Gelang Patah, terus hilangkan diri sehingga penduduk cari beliau ke merata tempat bagi mengadu masalah mereka.

“UMNO setuju kembalikan kerusi itu kepada MCA pada PRU nanti, tetapi kita tunggu nanti adakah Lim berani bertanding balik di Gelang Patah kerana beliau susah nak duduk di satu tempat secara tetap, suka melompat kerana lama sangat duduk takut rahsia dia terbongkar,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MCA Negeri Johor di Segamat.

Liow berkata selain Gelang Patah, UMNO juga menyatakan persetujuan untuk memberikan semula kerusi Parlimen Wangsa Maju kepada MCA pada PRU akan datang.

“Pada PRU yang lepas MCA pinjamkan tiga kerusi Parlimen kepada UMNO iaitu Gelang Patah, Wangsa Maju dan Kuantan. Hari ini kita umum Gelang Patah dan Wangsa Maju (dipulangkan kepada MCA),” katanya.

Tiada ulasan: