Jumaat, 4 September 2015

'Macam kena pelempang 10 kali'

N Faizal Ghazali


 


"Kalau kepala tak betul, ekor pun tak betul," kata Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas skuad Harimau Malaya.

Ketika itu skuad kebangsaan 'cuma' dibelasah 0 - 7 Emeriah Arab Bersatu (UAE) pada separuh masa pertama perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, malam tadi.

Ketinggalan begitu jauh, Tunku Ismail menulis: ‎"7-0 untuk separuh masa pertama. Ianya merupakan satu peluang pemilihan (pilihan) untuk mengubah kedudukan bola sepak Malaysia, tetapi ianya sudah terlambat".

Biar apa pun hujah dikemukakan, tewas dengan malu yang besar di Abu Dhabi memang teramat sukar diterima sesiapa pun.

Justeru media sosial awal pagi ini 'meriah' dengan komen kemarahan peminat bola sepak.

"Bersih 5 patut ada untuk gulingkan FAM," kata Khalil Zaini pada akaun Facebooknya kira-kira jam 1 pagi.

Bekas wartawan sukan, Saipul Adli Mohamad pula mengeluh: "10-0...kegilaan apakah ini...walaupun aku tak minat bola...tapi aku tau 10 gol tu ba banyak. Macam kena pelempang 10 kali la lebih kurang."

Dihubungi Malaysiakini, Saipul Adli berkata kekalahan itu bukan saja bagaikan tamparan pedih untuk negara, malah ia adalah "sepuluh pelempang tanpa balas".

"Nasib baik sepuluh, cukup lagi jari tangan (untuk tunjukkan jumlah gol)," katanya.

 Kekalahan terhadap UAE memang bukan mengejutkan tetapi tewas dengan jumlah gol sebegitu besar sebenarnya amat memalukan.

Semalam jurulatih negara Dollah Salleh sudah membayangkan nasib Harimau Malaya tidaklah begitu cerah di Stadium Muhammed bin Zayed di Abu Dhabi.

Kata Dollah, skuad yang ada adalah "tak sempurna".

Sebelum ini Harimau Malaya sudah tumpas 0 - 6 kepada skuad negara yang hampir tidak pernah aman - Palestin.

Pemilik akaun Twitter Pipiyapong pula kekal dengan nada menyindirnya mengulas prestasi skuad negara.
"Aku target Malaysia kena 11 bijik atau 13 bijik atau 15 bijik," katanya.

Tiada ulasan: