SINAR HARIAN
SHAH ALAM - Polis memburu 14 lagi penyokong termasuk empat perancang
utama dipercayai terlibat dalam kekecohan sewaktu perlawanan pusingan
kelayakan bola sepak Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia
dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata,
dua perancang utama yang diburu dikenali sebagai 'Lekir' atau nama
sebenarnya Mohd Ridzuan Ahmad, 36, yang beralamat di Seremban, Negeri
Sembilan dan 'Rambo' atau Alfadli Awaludin, 33, yang beralamat di
Seksyen 18, Shah Alam.
Dua lagi perancang utama yang turut dicari dikenali sebagai 'Tok
Anjang' dan 'Shap' yang merupakan pemimpin kumpulan penyokong Ultras
Selangor.
"Kesemua 14 orang ini diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Shah Alam di sini untuk diambil keterangan. Polis menerima maklumat
keempat-empat individu terbabit ialah perancang utama insiden itu,"
katanya selepas mengedarkan 12 gambar suspek kepada media di IPD Shah
Alam, di sini petang ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ketua kumpulan bakar suar, mercun dikenal pasti]
Tindakan penyokong membaling suar dan bom asap ke padang mengakibatkan
perlawanan dihentikan pada minit ke-88 ketika pelawat sedang mendahului
2-1.
Semalam, 11 penyokong termasuk lima penuntut universiti awam dan swasta
direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan
kerana merusuh.
Ditanya mengenai sekumpulan penyokong yang berjaya membolosi pintu
masuk untuk orang kenamaan (VIP) tanpa pemeriksaan keselamatan ketika
hari kejadian, Shafien mengakui perkara itu dan tidak menolak
kemungkinan kumpulan kira-kira 50 orang itu yang membawa masuk bahan
larangan tersebut ke dalam stadium.
"Kita akan pastikan pada perlawanan akan datang pintu VIP tersebut yang
sebelum ini dijaga anggota Rela akan dikawal polis bagi memastikan
perkara itu tidak berulang," katanya.
Mengulas mengenai perbincangan bersama wakil pengurusan Stadium Shah
Alam dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini, beliau berkata
polis memutuskan untuk memperketatkan pemeriksaan di pintu masuk, serta
melarang penyokong membawa masuk sebarang peralatan yang boleh
membahayakan orang lain.
"Contohnya, pemukul gendang boleh dijadikan senjata jika ada rusuhan
dan ini boleh membahayakan orang lain. Jika ada yang bawa gendang mereka
akan diminta letakkannya di luar dan ambil semula selepas perlawanan
tamat.
"Tidak payahlah bawa benda ini, saya seru penyokong bola datang dan
tonton perlawanan bola dengan aman...cukuplah, jadikan insiden yang
berlaku sebagai pengajaran," katanya sambil menambah penjual minuman
juga selepas ini perlu melalui pemeriksaan keselamatan di pintu khas
sebelum memasuki stadium.
Sementara itu, pegawai Stadium Shah Alam, Mohd Nazrul Mohd Fauzi yang
turut menghadiri perbincangan tersebut, berkata jumlah kerugian selepas
insiden berkenaan dianggarkan RM51,200.
"Ia meliputi kerosakan pada tempat duduk penonton, balapan dan pagar.
Laporan kerugian ini akan diserahkan kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) secepat mungkin," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan