Selasa, 8 September 2015

Kosong-10: Sindrom Bapa Borek


MALAYSIA kosong. Emiriah Arab Bersatu 10. Bagi yang tak faham bola, Malaysia tak skor satu gol pun manakala UAE sumbat 10. Malaysia kalahlah!

LIHAT VIDEO DI SINI 

Ini cerita bapa borek, anak rintik.  Bila bapa borek, anak lazimnya rintik, melainkanlah bapa jenis pak sanggup atau ibu main kayu tiga. Nauzubillah.

Bagi orang Islam, masa hidup dia anak bapanya. Dia bin atau binti. Tapi bila dia mati, dia masuk kubur sebagai anak ibunya.

Jangan silap sangka, saya tak hina sesiapa, tapi daripada aspek biologi, kita hanya boleh pastikan ibu kita. Yang mengandung dan melahirkan kita itulah ibu kita. Dia ibu biologi kita (biological mother).

Kemudian ada ibu susuan. Dia menjadi ibu kerana menyusukan seseorang sejak bayi. Dia bukan ibu biologi. 

Bapa, kita tak boleh pastikan 100%. Sebab itulah dalam zaman sains dan teknologi canggih ini, bila hubungan darah sebelah bapa (paternity) dipertikai, ujian DNA dilakukan untuk memastikan sama ada betul atau tidak seorang lelaki itu benar-benar bapa kepada seseorang anak.

Perdana Menteri Sebagai Bapa


Dalam sistem demokrasi ala Westminster macam kita, Perdana Menteri bolehlah kita ibaratkan sebagai bapa – bapa pemerintahan.

Sebab itulah bila kita bagi gelaran mutakhir (ultimate) kepada Perdana Menteri, kita guna istilah bapa – Bapa Kemerdekaan (Tunku Abdul Rahman), Bapa Pembangunan (Tun Abdul Razak), Bapa Perpaduan (Tun Hussein Onn), Bapa Pemodenan (Tun Dr Mahathir) dan Bapa Modal Insan (Tun Abdullah Ahmad Badawi). 

Sekarang bapa pemerintahan kita adalah (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak. Silap-silap dia pun dapat gelaran “Bapa” juga macam Perdana Menteri yang lalu. Agaknya apa gelaran “Bapa” paling cocok untuknya?

Saya yakin majoriti daripada kita sudah tahu siapa Mohd Najib sebenarnya. Jadi kalau warna dia borek, warna anak-anaknya sepatutnya rintiklah. Kalau dia baik, logiknya baik jugalah anak-anaknya. Kalau dia tak baik, maka tidaklah memeranjatkan kalau anak-anaknya juga tidak baik.

Jadi dalam hubungan itulah saya lihat kemerosotan negara kita dalam berbagai-bagai bidang. Akibat wabak masalah yang menjangkiti Perdana Menteri kita sekarang, rakyat jelata hilang pedoman, hilang keyakinan, hilang jati diri, hilang motivasi dan hilang patriotisme.

Apatah lagi apabila dia sendiri terlibat menggunakan pelbagai tipu helah dan tindak-tanduk yang meruntuhkan kewibawaan jentera kerajaan, merosakkan motivasi kakitangan awam dan melunturkan patriotisme rakyat jelata. Hatta pada hari ulang tahun kemerdekaan pun tidak banyak orang mengibarkan bendera negara.

Harimau Tak Bertaring

Mohd Najib mungkin tidak bertanggungjawab terus ke atas sukan negara. Itu tugas Khairy Jamaluddin. Tapi sebagai Perdana Menteri dialah yang lantik Khairy dan sebagai Menteri Kewangan dialah yang bagi peruntukan untuk kegiatan sukan.

Jadi sikit sebanyak dia terlibat dengan prestasi sukan negara. Sebagai bapa, dia sepatutnya menjadi asas motivasi dan aspirasi.

Justeru itu, apabila pasukan bola kita yang dibagi gelaran hebat “Harimau Malaya” kena gasak 10-0 oleh UAE dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 pada 3 September lalu sekali lagi cerita bapa borek anak rintik ini terbit dalam fikiran kita.

Bagi sebuah pasukan yang diuar-uarkan sebagai peneroka pemulihan bola sepak negara dan mewakili negara dengan hampir 30 juta penduduk (termasuk pendatang), kalah 10-0 kepada UAE dengan penduduk tak sampai 10 juta sangat hina dan mengaibkan.

Kita pun tidak boleh marah apabila rakyat jelata membuat pelbagai jenaka dan satira sebagai respons kepada kehambaran pasukan negara itu.

Salah satu yang sangat kreatif dan lucu ialah kita sengaja kalah kepada UAE kerana membalas budi penderma Arab yang menyedekahkan RM2.6 bilion kepada Mohd Najib.

Satira "Dermawan" Arab Yang "Sedekah" Kepada Mohd Najib

Sampai hari ini Mohd Najib tidak menafikan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi dia di bank AmIslamic.

Memang pun lawak. Harimau Malaya kalah 10-0 kepada UAE. Gugurkan saja jenama yang hebat itu. Apa guna nama hebat kalau standard lebih teruk daripada harimau tua sarkas. Buat malu pak belang dan negara saja.

Saya rasa aspek motivasi, patriotisme dan kecemerlangan merudum begitu teruk sehingga boleh kalah seburuk itu, bukan saja kepada UAE tetapi kepada banyak negara serantau sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kita pernah cemerlang dalam bola sepak, sepak takraw, badminton, hoki malah olahraga. Ahli sukan kita penuh motivasi, komited dan patriotik.

Ambil contoh Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur. Kita menang paling banyak pingat emas walaupun ibu negara dilanda tunjuk perasaan reformasi.

Tapi bukan sukan saja jatuh, merudum dan runtuh pada era Pahlawan Bugis ini. Kapal terbang jatuh, Gunung Kinabalu runtuh, nilai ringgit merudum, rizab asing Bank Negara jatuh ke bawah paras AS$100 bilion, keyakinan pelabur dalam dan luar negara runtuh, penarafan negara merudum dan Malaysia kini jadi bahan jenaka dunia. Tak peliklah bila nak buka persidangan anti-rasuah pun Perdana Menteri tak berani.

Kalau sukan penting sebagai asas perpaduan kaum dan penyemarakan patriotisme, saya cadangkan kepada Khairy agar tumpukan lebih banyak masa memperbaiki mutu sukan negara daripada terus berdolak-dalik bagi pihak bosnya. KJ muda lagi. Takkan dia hendak karam bersama pinisi Bugis.

Wallahuaklam. 

Tiada ulasan: