Isnin, 21 September 2015

Keputusan pilihan raya kampus tidak cermin sokongan kepada kerajaan



Oleh Kalaivaanan Murthy 


Saya terpanggil untuk mencoret pendapat dan kritikan berikutan kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Muar semalam yang mengaitkan keputusan pemilihan Perwakilan Universiti Awam sebagai isyarat kembalinya keyakinan para mahasiwa kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Saya ingin mengkritik sekeras-kerasnya kenyataan yang sangat tidak akademik dan tidak bertunjangkan fakta yang dibuat hanya untuk mengelirukan rakyat jelata yang tidak kenal rupa dan bentuk politik kampus.

Kenyataan perdana menteri mengukuhkan lagi hipotesis wujudnya sekumpulan mahasiwa yang berpanjikan kerajaan dan kumpulan yang menentangnya adalah kumpulan pro pembangkang.

Dalam kerancakan dunia politik nasional yang penuh dengan retorik, rasuah, perebutan kuasa dan penipuan dunia politik kampus kian dihidangkan dengan perkara tidak kurang daripada yang berlaku di luar.

Secara jujurnya saya ingin mendabik dada sebagai seorang mahasiwa yang bijak mengenal buruk dan baik serta pandai menilai antara ikhlas dan rakus.

Namun realiti pilu yang menghujani persekitaraan kampus tidak menyenangkan hati saya dan ribuan lagi pelajar universiti.

Saban tahun munculnya pilihan raya kampus, suasana kampus meraikan “pesta demokrasi’ (walaupun suasananya muram pada tahun ini di kampus penulis).

Calon-calon yang bertanding tidak kurang persiapannya daripada calon pilihan raya umum; poster, banting, slogan, jentera, manifesto, pidato, kempen dan pelbagai lagi semuanya bersedia untuk ditonjolkan.

Namun realiti sedih yang berlaku menjengkelkan penghuni kampus yang lain. Makian, cemuhan, ucapan politik murahan, sabotaj, pergaduhan, pertelingkahan; semuanya kian menjadi sebati dalam perjalanan kempen memancing undi.

Apa bezanya mahasiwa dengan orang di luar? Apa bezanya mahasiswa dengan Umno, PKR, DAP dan PAS? Pertembungan idea secara sihat diganti dengan pergelutan kelebihan yang diusahakan melalui indoktrinasi.

Pergelutan individu menjadi pergelutan kekuatan parti yang dikawal oleh sekumpulan yang lain.

Perlawanan lidah secara intelektual bertukar menjadi medan berkongsi kata-kata tidak pernah didengari.

Terkilan melihat mahasiswa mencarut dan memaki rakan seperjuangan walhal musuh sebenar yang perlu ditangani adalah ketidakadilan dan kedangkalan pemikiran ahli politik.

Saya menyeru kepada perdana menteri untuk hentikan segala bentuk tindakan mengaburi mata mahasiswa.
Hentikan usaha untuk menjadikan medan politik kampus sebagai medan perjuangan politk retorik anda.

Kepada pembangkang, hentikan usaha mengeksploitasi mahasiswa untuk merealisasikan impian songsang anda. Usah menyuntik karektar pembangkang yang kerjanya membangkang sahaja.

Saya yakin dan percaya mahasiswa yang mengundi dan memenangkan rakan-rakan mereka tidak mudah terpedaya dengan dakyah songsang yang dihidangkan.

Mereka memilih individu tersebut kerana yakin akan kemampuan, tertarik dengan hidangan manifesto dan kagum dengan ciri-ciri kepimpinan. Tidak sama sekali kerana menyokong anda. Andaian anda sudah tergelincir dari landasan pemikiran logikal.

Biar kami memilih pemimpin kami yang kritikal dan neutral. Biar kami tentukan hala tuju kepimpinan kampus.

Biar kami menegakkan prinsip demokrasi yang sebenar, setia dengan tujuan dan impian. Biarkan kami.

Tiada ulasan: