Isnin, 21 September 2015

(KEMASKINI) PAS sah tak hadir meja bulat bincang Pakatan Rakyat 2.0 esok

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic


SHAH ALAM: PAS mengesahkan tidak akan hadir persidangan meja bulat bersama parti-parti pembangkang bagi membincangkan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Nik Salleh berkata demikian ketika mengulas keengganan parti itu memberikan kata putus untuk hadir ke rundingan dianjurkan oleh PKR.

"Biarlah mereka berunding dahulu. Jika rundingan itu pun lebih awal daripada Mesyuarat PAS Pusat, terpulanglah. Kami tidak akan pergi selagi tiada keputusan.

"Kita tidak berapa berminat untuk berbincang," katanya kepada Antarapos.

Difahamkan, pimpinan PAS Pusat hanya akan bermesyuarat selepas perayaan Aidiladha.

Nik Zawawi berkata, tidak ada keperluan untuk parti-parti pembangkang menubuhkan Pakatan Rakyat 2.0, sedangkan acuan dan hala tujunya tetap sama dengan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

"Kita sudah ada Pakatan Rakyat, mereka nak buat Pakatan Rakyat 2.0 terpulanglah. Kita setia dengan janji dan prinsip. Bukan macam pihak lain, nak buat kemudian keluar. Sebab itu PAS bertenang sebab kita sudah ada PR," demikian menurutnya.

Bukan itu sahaja, tambah Nik Zawawi, pimpinan PAS Pusat tidak membincangkan soal penubuhan Pakatan Rakyat 2.0, malah Majlis Syura Ulama yang berperanan penting dalam penentuan dasar parti itu juga tidak menyentuh perkara berkenaan.

Pendirian itu senada dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan pada hari ini yang berkata parti itu tidak berminat menyertai gabungan baru pembangkang kerana hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat masih utuh.

Beliau juga menyifatkan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 masih kabur dan belum digerakkan sepenuhnya.

Persidangan meja bulat anjuran PKR esok dikatakan akan membincangkan resolusi ke arah pembentukan Pakatan Rakyat 2.0 selepas Pakatan Rakyat (PR) diisytiharkan tidak lagi wujud pada Julai lalu akibat kemelut berterusan antara PAS dan DAP.

Pakatan Rakyat 2.0 dikatakan bakal dianggotai oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Keengganan PAS terlibat dalam gabungan pembangkang yang baru itu berkait rapat dengan hubungan tidak baiknya dengan DAP dan penolakan terhadap Amanah yang ditubuhkan oleh bekas kumpulan progresif PAS yang tidak sebulu dengan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tiada ulasan: