Rabu, 23 September 2015

Kakitangan RHB Bank terkejut terima gaji hampir 10 kali ganda

 
Perkara itu dikatakan berpunca daripada kesilapan teknikal kerana bank berkenaan sedang menaiktaraf sistem pengkomputeran.


rhb


PETALING JAYA: Kakitangan RHB Bank terkejut apabila mendapati gaji untuk bulan September yang masuk ke dalam akaun mereka hari ini ‘luar biasa’.

FMT difahamkan ada kakitangan RHB hampir pengsan apabila mendapati jumlah gaji yang diterima hampir 10 kali ganda berbanding biasa.

Rata-rata terkejut dan kehairanan dengan jumlah gaji yang diterima kerana syarikat tidak pernah membuat sebarang pengumuman keuntungan apatah lagi untuk memberikan bonus.

‘Durian runtuh’ itu gara-gara kesilapan teknikal kerana bank itu dikatakan sedang menaik taraf sistem pengkomputeran.

Kegembiraan seketika kakitangan bank berkenaan telah dikongsi di Facebook dan menjadi viral.

Perkara itu telah menjadi topik perbincangan di alam maya hingga ada di antara pengguna media sosial yang menyalahkan pihak bank kerana ‘memberi kegembiraan palsu’ kepada kakitangannya selain kesilapan itu amat jarang berlaku di sebuah syarikat besar.

Pihak bank telah mengambil tindakan segera dengan menyekat semua akaun yang terlibat untuk mengaudit semula serta merta.

Pihak pengurusan juga menghantar mesej peringatan supaya kakitangan tidak mengeluarkan wang melebihi gaji yang diterima.

Selepas beberapa jam, barulah kakitangan bank berkenaan boleh mengakses semula akaun masing-masing dan menerima gaji yang sepatutnya.

Tiada ulasan: