KOTA BHARU, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berjanji akan menyelesaikan isu gaji tertunggak para pemain Kelantan dalam masa terdekat walaupun dana yang dimiliki tidak mencukupi.


Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun menghadapi masalah kewangan pihaknya akan memikirkan cara lain bagi menyelesaikan masalah itu,

Katanya, pihaknya sudah berjumpa dengan pemain dan menjelaskan perkara sebenar yang dihadapi oleh persatuan itu.

“Sehingga Ogos lalu, pihak pengurusan sudah membelanjakan sebanyak RM11.6 juta berbanding RM8 juta musim lalu. Perbelanjaan kita musim ini ‘lari’ apabila terpaksa menukar tiga pemain import dan jurulatih selepas didesak pemain dan penyokong.

“Setiap pertukaran KAFA terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang agak besar dan perancangan bajet KAFA tersasar sebanyak RM5 juta pada musim ini. Ekoran daripada itu juga kantung kewangan KAFA mencecah kosong pada Mei lalu,” katanya kepada media selepas mesyuarat khas barisan jawatankuasa KAFA dan pemain di Wisma Majlis Sukan Negeri Kelantan, di sini, sebentar tadi.

Annuar berkata, prestasi buruk pemain Kelantan, menyebabkan penonton tidak turun ke stadium dan menyebabkan hasil kutipan tiket yang tidak memberangsangkan.

Katanya, disebabkan itu, beliau terpaksa memohon dana daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebanyak RM 2 Juta bagi menyelesaikan masalah gaji bulan Mei dan Jun.

“Perbelanjaan bagi gaji pemain saja lebih RM 1 juta sebulan dan itulah yang terpaksa ditanggung KAFA walaupun prestasi yang dipamerkan para pemain tidak memuaskan.

“Penyokong mungkin tidak tahu masalah dihadapi KAFA tetapi itulah hakikat terpaksa ditanggung oleh pihak kami, berbeza dengan persatuan negeri lain yang mendapat sokongan kewangan pelbagai pihak, sedangkan pihaknya terpaksa berdikari mencari duit,” katanya.

Annuar berkata, pihaknya memberikan pilihan kepada pemain iaitu bercuti rehat daripada bermain dalam saingan Piala Malaysia, kedua tidak terlalu fikirkan soal kewangan dan fokus pada saingan, serta menarik diri.

Katanya disebabkan pemain memilih pilihan kedua iaitu untuk bermain tanpa memikirkan kewangan, pihaknya akan berusaha mencari dana menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

“Saya sudah melakukan pinjaman dengan bank dalam jumlah tertentu bagi menyelesaikan gaji pemain dan jika mereka menyatakan kesungguhan dan komited, saya rela bergolok gadai termasuk menjual aset yang ada bagi menyelesaikan masalah itu jika tidak ada jalan lain,” katanya.

Menurutnya, beliau juga menggesa penyokong supaya terus memberi sokongan kepada pasukan Kelantan kerana itulah cara untuk memulihkan sumber kewangan KAFA.

“Saya ingin tegaskan, tidak pernah berlaku penyelewangan atau pihak pengurusan mengambil duit daripada akaun KAFA, sebaliknya, segala wang itu termasuk penajaan digunakan untuk membayar gaji pemain.

“Jika ada penyokong yang ragu-ragu serta mahu melihat penyata akaun KAFA, kami bersedia untuk menunjukkannya pada bila-bila masa sahaja,” katanya.