Ahad, 13 September 2015

Jemaah hilang: Keluarga hanya mampu berdoa

SINAR HARIAN



Jemaah hilang: Keluarga hanya mampu berdoa
Bapa saudara Sobri Saad (kanan) menunjukkan gambar kedua ibu bapa Muhammad Afiq Amzar Shahidan pada telefon pintar ketika ditemui di kediaman penjaganya di Kampung Kodiang Lama Luar hari ini. Muhammad Afiq Amzar kini dijaga oleh kedua ibu bapa saudaranya ketika kedua ibu bapanya menunaikan Ibadah Haji di Mekah. Shahidan Saad adalah antara jemaah Haji Malaysia yang hilang dalam tragedi runtuhan kren di Mekah. - Foto Bernama
 
 
ALOR SETAR - Keluarga jemaah haji negara yang masih hilang selepas kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah semalam hanya mampu berdoa mengharapkan anggota keluarga mereka ditemui dengan segera dalam keadaan selamat.
 
Muhamad Fazil Abdul Habib berkata mereka sekeluarga mendoakan bapanya Abdul Habib Lahman, 68, yang pergi seorang diri menunaikan Haji di Tanah Suci itu ditemui dalam keadaan selamat.
 
"Selain daripada terus berdoa supaya bapa ditemui dengan selamat, kami sekeluarga juga terus menunggu sebarang berita atau maklumat tentang bapa daripada pegawai Tabung Haji (TH)," katanya ketika dihubungi hari ini.
 
Menurut Muhamad Fazil, pegawai TH ada menghubungi beliau pagi tadi bagi memaklumkan tentang keadaan terkini di Tanah Suci serta usaha berterusan pihak mereka untuk mencari bapanya.
 
Abdul Habib tinggal di Kampung Batu Besar, Mukim Teloi, Sik merupakan seorang daripada lapan jemaah Malaysia yang dikategorikan sebagai hilang setakat ini.
 
Kejadian kren runtuh di Masjidil Haram itu semalam telah mengakibatkan lebih daripada seratus orang maut, manakala lebih daripada 200 orang cedera termasuk 10 jemaah dari Malaysia.
 
Sementara itu Sabri Saad, abang kepada jemaah haji, Shahidan, 52, yang turut dikategorikan sebagai hilang, berkata beliau hanya mengetahui tentang nasib adiknya itu menerusi anaknya yang mendapat maklumat terbabit menerusi Facebook TH, sebelum menyebarkannya dalam aplikasi WhatsApp keluarga.
 
Shahidan yang merupakan pembantu makmal di Sekolah Menengah Tunku Bendahara, pergi ke Makkah bersama isterinya, Maziatunazna Bidin@Ibrahim, 40-an.
 
Sabri berkata anak tunggal pasangan itu, Mohd Afiq Amzar berusia dua tahun 10 bulan dijaga oleh beliau selepas adiknya berangkat ke Tanah Suci.
 
"Pegawai TH memaklumkan tentang Shahidan pagi tadi, yang beliau tidak balik ke bilik penginapan," katanya dan menambah adiknya itu bertolak ke Makkah 17 Ogos lepas dan dijadual pulang 1 Oktober ini.
 
Menurut Sabri ketika kejadian, isteri Shahidan berehat di bilik dan tidak mengikuti suaminya beribadat di Masjidil Haram. - Bernama
 
 

Tiada ulasan: