KUALA LUMPUR, Lima daripada 10 orang jemaah haji yang cedera berikutan insiden kren tumbang di Masjidil Haram, awal pagi semalam telah dibenarkan pulang ke penginapan masing-masing, selepas menerima rawatan di Pusat Rawatan Tabung Haji.


Menurut kenyataan Lembaga Tabung Haji, lima jemaah itu ialah Faridah Mat Yaakob, 46, dari Bachok, Kelantan yang mengalami cedera ringan di kepala; Rusiah Baba, 50, dari Cheras, Kuala Lumpur yang mengalami lebam di tangan; Noordin Wahab, 59, dari Kuala Terengganu yang mengalami luka kecil; Ahmad Muzafar Mamat @ Adam, 39, dari Bangi, Selangor yang cedera di kaki kiri serta Mohd Sharif Meon, 64, dari Klang, Selangor yang mengalami kecederaan tisu, calar dan bengkak bahu kiri.

Bagaimanapun, lima lagi yang cedera masih menerima rawatan dan dilaporkan stabil.

Mereka ialah Zainul Arifin Zulkifli, 36, dari Batu Caves, Selangor yang mengalami patah tulang kaki serta belakang pinggang dan dirawat di Hospital Syusyah Tabung Haji; Mat Deris Mohd Noor, 46, dari Bachok, Kelantan yang cedera ringan di kepala dan patah tulang femur sebelah kanan, kini berada di Hospital King Abdul Aziz.

Mohd Nor Azman Hassan, 44, dari Cheras, Selangor yang mendapat patah bahu pula, dirawat di Hospital King Faisal; Faridah Mansor, 63, dari Dungun, Terengganu yang patah pergelangan kaki kiri dirawat di Hospital An Noor manakala Abdul Razak Mahmood, 61, dari Tanah Merah, Kelantan pula kini masih menjalani rawatan di Klinik Abraj Janadriah.

Namun menurut kenyataan itu, sehingga jam 11 malam waktu Saudi, pasukan perubatan Tabung Haji masih tidak dibenarkan memasuki rumah mayat dalam usaha mencari dan mengenal pasti jemaah Malaysia yang hilang.

“Pasukan mencari dan menyelamat Tabung Haji masih menggiatkan usaha untuk mencari dan mengesan kesemua jemaah yang terbabit,” katanya.