shahbudindotcom
Beberapa hari sebelum himpunan baju merah pada 16 September ini, kecelaruan mula berlaku di sana sini dan sesama mereka yang terlibat dengannya.
Gabungan
NGO-NGO Melayu yang diketuai oleh Jamal Mohd Yunus tetap mahu berarak
dengan baju merah melalui beberapa kawasan di Bukit Bintang sebelum
menuju ke destinasi akhir di Padang Merbok.
Pesaka
yang dipilih sebagai penganjur pula hanya mahu berkumpul di Padang
Merbok. Mereka juga tidak menetapkan sebarang tema warna kepada peserta,
boleh berbaju merah, hitam atau apa saja.
Malah, Pesaka mengatakan baju merah bukanlah sebahagian daripada mereka.
Mungkinkah nanti himpunan 16 September itu menjadi berbelang-belang warnanya? Tak kelakar ke?
Lalu, di mana kesepakatan dan solidaritinya?
Pesaka
turut tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah kehadiran, tetapi Jamal
mengatakan pihaknya akan mengumpul seramai 30 ribu peserta bagi tujuan
itu.
Kenapa hanya 30 ribu? Mana angka yang diwar-warkan dulu kononnya sejuta peserta, 500 ribu, 300 ribu dan sebagainya?
Kalau
nak lawan Bersih 4 dan menunjukkan sokongan kepada Najib Razak,
bukankah jumlah yang munasabah ialah sekurang-kurangnya 500 ribu?
Jika tidak, malulah Pahlawan Bugis!!
Dalam
pada itu, walaupun UMNO melalui Setiausaha Kerjanya, Abd Rauf Jusoh
akhirnya mengakui penglibatan parti itu dalam mengerahkan kehadiran
ahli-ahli UMNO seluruh negara ke himpunan tersebut, banyak pihak jelas
tidak bersetuju dengannya.
Pakar
sejarah, Dr Ramlah Adam nyata tidak senang dengan himpunan baju merah
yang dirancang itu manakala adik Najib, Nazir Razak pula mengatakan
beliau akan meraikan kepelbagaian serta tidak akan berbaju merah sempena
sambutan Hari Malaysia itu nanti.
Tun Mahathir, Rafidah Aziz dan ramai lagi semuanya juga tidak setuju.
Pemimpin
komponen BN lagi tidak setuju dengan himpunan baju merah yang lebih
bercorak perkauman dan hanya melibatkan satu-satu kaum saja serta dalam
masa yang sama ingin menunjukkan kekuatan kepada kaum yang lain.
Dengan
ini kebarangkalian untuk BN lebih menjarak daripada pengundi bukan
Melayu selepas himpunan baju merah ini adalah paling mungkin sekali.
Dalam
negara berbilang kaum, tiada sebarang himpunan melibatkan kaum patut
dibenarkan. Jika ia berlaku, reaksi daripada kaum lain akan muncul
selepasnya dan akhirnya semua kaum akan bebas berarak di jalan-jalan
sepanjang masa untuk menuntut dan memperjuangkan hak mereka.
Apa jadi akhirnya?
Sudah
tentu keharmonian dan kedamaian sesama rakyat akan terjejas. Hubungan
dengan jiran tetangga daripada kaum lain dan kemesraan dengan rakan
berbilang bangsa serta pergaulan anak-anak di sekolah pastinya tidak
seharmoni dulu lagi.
Semuanya akan rosak binasa.
Sebelum
api ini memusnahkan segala-galanya, adalah lebih baik Najib Razak
mengambil tindakan mengeluarkan arahan membatalkan saja himpunan pada 16 September ini.
Meskipun
pada awalnya Najib mengatakan tiada halangan dan tidak melarang
ahli-ahli UMNO menghadirinya, mungkin kerana merasakan ia untuk memberi
sokongan kepadanya, lebih terpuji jika Najib segera menarik balik semua
itu.
Sudah
cukup isu 1MDB, derma RM2,600 juta dan isu Altantuya yang timbul
kembali kian menghakis sokongan rakyat terhadapnya, himpunan baju merah
ini juga tidak menyumbang apa-apa keuntungan atau bonus tambahan
kepadanya.
Tidak
seperti Bersih 4 yang ada asas perjuangannya, himpunan baju merah
hanyalah medan pembodek dan pengampu mempamerkan aksinya sambil memasang
angan-angan untuk mengaut laba diri sendiri sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan