Rabu, 16 September 2015

Haron Din: PAS boleh layari perjuangan meskipun tanpa sebarang konsensus

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
BANGI: PAS boleh melayari bahtera perjuangannya sendirian tanpa memerlukan gabungan dengan PKR serta DAP dan mana-mana parti politik lain bagi membentuk konsensus baru.
 
"Bukan kita yang putuskan tapi mereka yang putuskan maka PAS boleh terima dan PAS boleh melayari bahteranya mengikut gelombang apa yang nak dihadapi.
 
"Apa-apa masalah dan apakah bentuk itu akan diputuskan kemudian berdasarkan situasi politik pada ketika itu," kata Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dalam temubual ekslusif bersama Antarapos.
 
Beliau menambah parti itu mempunyai kekuatan yang membolehkan ia bergerak sendirian selain pernah berdepan dengan situasi serupa sebelum daripada ini.
 
"PAS tidak bermusuh, tak nak keluar selepas kita berpakat begitu dan kita nak pertahankan (Pakatan Rakyat).
 
"Semua orang tahu DAP yang putus, itu kena cermat sebab kita tahu DAP yang buat keputusan memutuskan hubungan dengan presiden," katanya yang ditemui di kediamannya baru-baru ini.
 
PAS tidak mahu bermusuhan dengan mana-mana parti politik
 
Tegas Haron, PAS konsisten serta berusaha untuk mempertahankan tahaluf siyasi bersama PKR-DAP dalam Pakatan namun gagal ekoran sikap DAP yang memutuskan kerjasama itu.
 
"Apa maknanya kita buat satu pakatan kemudian putus dengan presiden? Kalau analoginya kita potong kepala, badan nak hidup macam mana dan diikuti dengan Pakatan Rakyat Sabah dan Sarawak putus hubungan terus dengan PAS.
 
"Mereka mengatakan bahawa kami tak boleh terima PAS dan PAS kena keluar tapi kita tak keluar, terus-menerus mereka mengasak, menghentam dan sebagainya akhirnya kita buat keputusan kalau itulah keadaannya PAS terima hasrat DAP untuk putus," katanya.
 
Mengulas lanjut beliau berkata PAS tetap meneruskan kerjasama dengan PKR dalam Pakatan sebelum ini, menyaksikan hubungan itu bakal terkubur sekiranya pembentukan Pakatan 2.0 berjaya.
 
"Dengan PKR tiada masalah, tetap kita berkawan dan kekalkan tahaluf atau pakatan politik itu dengan PKR sampai hari ini dan bergantunglah kepada suasana yang sedang berlaku," katanya.
 
Ujar tokoh perubatan Islam ini, dalam mengharungi politik tanah air PAS mahu kekal relevan serta diterima rakyat selain enggan bermusuh dengan mana-mana parti politik lain.
 
"PAS tidak mahu mencari musuh, kalau musuh sudah ada PAS tidak mahu menambah musuh tapi kita nak mengurangkan musuh.
 
"Jadi atas itu kita mencari kawan sebanyaknya dan mengurangkan musuh sekurang yang mungkin," katanya.
 
 

Tiada ulasan: