Jumaat, 18 September 2015

Hadi: Tiada tahaluf siyasi dengan pengkhianat

MALAYSIAKINI
 
 


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tidak akan menjalinkan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan pihak yang melakukan khianat - dipercayai merujuk kepada Parti Amanah Negara (AMANAH).

Malah Abdul Hadi juga menyifatkan perbuatan mengkhianati perjuangan PAS itu "lebih teruk" daripada parti musuh.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, mengikut "perjuangan Islam" PAS tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memiliki rekod mengkhianati perjuangan.

"Tak boleh sama sekali," katanya dalam satu klip video yang dimuat naik di akaun Facebook PAS semalam.

PAS berdepan penghijrahan sebahagian daripada pemimpin dan ahlinya ekoran 'pembersihan' kumpulan progresif dari parti itu dalam muktamar mereka Jun lalu.

Bermula dengan Gerakan Harapan Baru, mereka - diketuai bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu - kemudian menubuhkan AMANAH.

Ia dilancarkan secara rasmi pada 16 September lalu.

Kata Abdul Hadi, orang yang mengkhianati perjuangan parti itu hanya berdepan dua pilihan - "balik" (kembali kepada PAS) atau "dihapuskan".

Namun tidak dapat dipastikan maksud sebenar ungkapan "dihapuskan" itu.

Rakaman video tersebut merupakan sedutan sesi soal jawab antara Abdul Hadi dengan peserta program Mukhayyam Tarbawi PAS kawasan Machang di Rusila, Terengganu pada 3 September lalu.


Tiada ulasan: