Sabtu, 19 September 2015

Gesa Mujahid letak jawatan kerana sertai Amanah

Mujahid
Mujahid
 
 
PARIT BUNTAR - Pas kawasan Parit Buntar mendesak Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu serta-merta berikutan tindakannya menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
 
Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Parit Buntar, Abdul Bahrin Md Desa berkata, desakan itu dibuat setelah mengambil kira kemenangan Dr Mujahid pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) terdahulu adalah hasil pencalonan Pas kawasan atas kelayakannya sebagai ahli Pas.
 
Menurutnya, Mujahid tidak berpeluang dicalonkan bertanding kerusi Parlimen Parit Buntar jika bukan ahli Pas, tambahan pula dakwaan beliau menganggap diri sebagai calon pilihan rakyat dan mendapat sokongan masyarakat Cina Parlimen ini adalah tidak tepat.
 
“Saya ingin mengingatkan Mujahid akan keperitan ahli-ahli bawahan yang berkorban masa, harta dan kesenangan demi membantu kemenangan beliau dalam PRU ke-13 sebelum ini.
 
“Tindakan beliau menyertai Amanah seolah-olah satu pengkhianatan besar kepada ahli Pas kawasan ini di mana kesemua mereka kecewa dengan keputusan yang membelakangi pengorbanan petugas dan pengundi,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Pas kawasan Parit Buntar, di sini semalam.
 
Abdul Bahrin berkata, sebagai orang luar yang diberi kepercayaan parti untuk menjadi wakil rakyat bagi penduduk Parit Buntar, Dr Mujahid tidak sewajarnya memperkecilkan sokongan diberikan ahli Pas kawasan di peringkat akar umbi.
 
Menurutnya, di sebalik kesungguhan beliau menyertai Parti Amanah, Pas kawasan Parit Buntar masih memberi Mujahid peluang untuk kembali beristiqamah dalam perjuangan Pas melalui dua siri pertemuan hati ke hati yang diadakan sebelum ini.
 
“Bagaimanapun, dalam pertemuan itu, Mujahid bersedia mengosongkan ruang pejabatnya yang dipinjamkan Pas kawasan Parit Buntar pada 31 Ogos lalu.
 
“Pada pertemuan kali kedua, Mujahid menyelesaikan urusan penyerahan tugas melibatkan parti kepada Pas kawasan Parit Buntar. Pas kawasan meminta beliau untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat dalam pertemuan itu,” katanya.
 
Abdul Bahrin berkata, Pas kawasan Parit Buntar membuat keputusan menubuhkan satu jawatankuasa khas penyelaras Parlimen bagi menggantikan fungsi beliau sebagai wakil rakyat parti itu sebelum ini.
 
Menurutnya, dalam mesyuarat Pas kawasan terbaharu, Jawatankuasa Pas kawasan sebulat suara melantik dirinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Parlimen Parit Buntar sambil dibantu Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussin.
 
Beliau berkata, Pas kawasan juga memutuskan kesemua staf yang berkhidmat di bawah Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar, dikekalkan untuk berkhidmat dengan Jawatankuasa Penyelaras Parlimen Parit Buntar.
 
Katanya, mereka kini sudah menubuhkan beberapa jawatankuasa bertindak bagi menggantikan beberapa pimpinan kawasan yang meninggalkan jawatan sebelum ini.
 
Dalam pada itu, Mujahid ketika dihubungi menegaskan tidak akan tunduk pada desakan peletakan jawatan oleh kepimpinan Pas kawasan Parit Buntar.
 
Sebaliknya, Mujahid menyatakan mana-mana calon Pas yang menang PRU sebelum ini, namun gagal memenuhi janji komitmen mereka bersama PR yang sepatutnya meletakkan jawatan.
 
“Meskipun saya dicalonkan Pas, tetapi saya masuk bertanding PRU atas tiket parti yang menjalinkan pakatan kerjasama dengan PR. Kini, satu negara tahu Pas memutuskan hubungan dengan DAP dan secara terbuka menyerang Pakatan Rakyat (PR).
 
“Saya fikir Pas kawasan Parit Buntar tidak faham undi rakyat yang turut memihak kepada kemenangan calon Pas diberikan mereka atas semangat PR  bukan sokongan individu terhadap mana-mana parti dalam PR,” katanya.
 
Mujahid berkata, pihaknya turut kesal dengan pihak yang mempersoalkan kredibilitinya sepanjang memberi perkhidmatan sebagai wakil rakyat Pas di Parlimen Parit Buntar.
 
Katanya, tindakan itu disifatkannya sebagai kebudak-budakan dan memberi gambaran Pas mengamalkan budaya memaki-hamun jika mana-mana pihak tidak lagi bersama parti itu.
 
“Kebebasan pilih wadah politik tidak wajar disamakan keluar Islam kerana hanya golongan IS sahaja bersikap menghukum orang tanpa berlandaskan nas al-Quran dan Hadis yang benar,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: