Rabu, 9 September 2015

Fiqh politik Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi



Oleh TUAN GURU ABDUL HADI AWANG 

DALAM isu pelaksanaan syariat yang menjadi sebahagian daripada perkara siyasah dipandang remeh-temeh oleh beberapa kalangan yang dikatakan mengkaji Islam. Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi menghuraikan dalam kitabnya "فقه السياسة الشرعية", ada kalangan ummat Islam melupai tajuk ini, ada kaitan dengan aqidah Islam. Walaupun dimasukkan dalam perkara Ijtihad dan Furu' (cabang) di sisi ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun tidak boleh dipisahkan daripada aqidah Islam. 

Ini kerana, pelaksanaan hukum syariat itu adalah amalan yang lahir menjadi bukti daripada iman kepada hukum wajib melaksanakan hukum daripada Al-Quran dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang wajib diikut. Perkara yang termasuk daripada Rukun dan Usul (Rukun Iman dan Islam).
Firman Allah SWT:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا * وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودًا * فَكَيْفَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ ثُمَّ جَاءُوكَ يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا إِحْسَانًا وَتَوْفِيقًا * أُولَٰئِكَ الَّذِينَ يَعْلَمُ اللَّهُ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَعِظْهُمْ وَقُلْ لَهُمْ فِي أَنْفُسِهِمْ قَوْلًا بَلِيغًا

"Adakah kamu tidak nampak adanya kalangan yang mengaku bahawa mereka beriman kepada apa (hukum) yang telah diturunkan kepadamu (Muhammad) dan diturunkan juga kepada (Rasul AS) yang lebih dahulu daripadamu, tiba-tiba mereka menerima Toghut (mereka yang melampau meninggalkan hukum Allah) supaya mengendalikan kehakiman terhadap mereka, padahal mereka diperintah supaya mengingkarinya, berada pula dalam keadaan syaitan hendak menyesatkan mereka kepada kesesatan yang sejauh-jauhnya. Dan apabila dikatakan kepada mereka : marilah kepada hukum yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada Rasul. Nescaya engkau melihat mereka itu menghalangmu dengan cara yang bersungguh-sungguh". (Surah An-Nisa', ayat 60-63)

Allah SWT berfirman lagi di dalam Al-Quran:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

"Maka tidak, demi Tuhamu ! Sebenarnya mereka tidak beriman, sehinggalah mereka berhakimkanmu (Rasulullah SAW) dalam apa-apa perkara yang menjadi pertelingkahan kalangan mereka. Kemudian tidak ada dalam diri mereka perasaan ragu terhadap apa yang telah engkau membuat keputusannya dan mereka menyerah diri dengan sepenuh-penuhnya". (Surah An-Nisa', ayat 65)

Terdapat dalam kalangan ummat Islam, mereka yang menimbulkan kekeliruan menggunakan Maqasid Syariah dengan tujuan menyingkirkan hukum Islam. Bagi menjelaskan perkara ini, wujudnya tiga Madrasah (pendekatan dalam pemikiran) pengkaji Islam yang perlu dijelaskan:

[a] Kumpulan ظاهرية

- Berpegang kepada nas juzuk yang zahir sahaja secara harfiyyah dan bersekongkol dengannya, tanpa peduli kepada tujuan dan hikmah syariat, maqasid (tujuan) dan waqie' (realiti) yang berkaitan dengan pelaksanaan syariat yang Allah wajibkan. Mereka adalah warisan mazhab Zahiriyyah di zaman dahulu yang jumud bersama nas yang zahir sahaja menolak ijtihad dalam perkara yang tidak ada nas.

[b] Kumpulan معطلة

- Kalangan yang membatalkan pelaksanaan syariat yang wajib, beralasankan hikmah, maqasid syariah dan siyasah syariyyah. Melalaikan nas yang nyata dan mentakwilkan tafsirannya dengan tujuan meninggalkan hukum syariat kerana terpengaruh sengan agenda taghrib (kebaratan) kerana ingin meneruskan agenda barat terhadap masyarakat Islam.

(c) Kumpulan وسطية

- Kalangan pertengahan yang tetap berpegang kepada nas hukum syariat, berusaha melaksanakannya mengikut kaedah yang betul, maqasid syariah dan siyasah syariyyah bagi menjamin pelaksanaan syariat tetap berkuasa dan berlaku dengan cara yang betul, bukan meninggalkannya.

Ringkasan huraiannya

1 - Mazhab ظاهرية (Zohiriyyah)

Mazhab ini sudah ada di zaman dahulu, di mana mereka berpegang dengan nas yang zahir sahaja, hanya yang disebut dalam Al-Quran dan Hadis, sehingga salah menggunakan hukum akal terhadap hukum syarak, dengqn menegaskan Allah berkuasa untuk menukar yang halal di dalam kuasanya, tanpa memahami betapa ilmu dan kebijaksanaan Allah memandu kebijaksanaan manusia.

Mustahil bagi Allah memilih yang buruk dan berlaku zalim, seperti melaksanakan perkara yang ada nas dengan meninggalkan kebijaksaan semasa dalam pengurusan dan melaksanakan hukum.

Kalangan ini hanya berpegang kepada nas sahaja dan menolak kalau tidak ada nas, seperti menolak demokrasi secara total kerana datang daripada barat tanpa melihat kepada adanya titik persamaan dari segi hak kemanusiaan dan rakyat dalam hukum politik Islam. Dalam demokrasi ada kekurangan serta kelemahannya yang wajib dibetulkan oleh Islam daripada kebijaksanaan manusia yang ada kelemahan makhluk, namun hendaklah dibetulkan dengan petunjuk Allah yang tidak menafikan adanya kebijaksanaan manusia makhluk ciptaannya.

2 - Mazhab معطلة (Mua'thilah)

Mazhab ini di zaman dahulu menafikan adanya sifat-sifat bagi Allah. Ada pun mua'thilah di zaman sekarang menafikan pelaksanaan syariat (khususnya dalam hukum Hudud), dengan alasan siyasah syariyyah dan maqasid syariah yang salah, khususnya bertujuan bagi menggantikannya dengan undang-undang barat ciptaan manusia.

Manusia menafsirkan ayat-ayat amaran Allah berkait dengan syariat seperti sebab turutnya kepada orang-orang Yahudi, ahli kitab. Ya, banyak juga sebab nuzulnya kepada orang-orang Yahudi, tetapi ingat bahawa pengajaran lebih ditujukan kepada penganut Islam yang beriman, kerana kewajipan melaksanakan syariat Allah ditujukan kepada orang yang beriman, supaya jangan terpengaruh dengan hawa nafsu orang-orang yang menghalang pelaksanannya.

Firman Allah SWT:

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

"Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti keinginan mereka. Dan waspadalah terhadap mereka, jangan sampai mereka memperdayakan kamu terhadap sebagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah berkehendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebagian dosa-dosa mereka. Sungguh, kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik". (Surah Al-Maidah, ayat 49)

Mereka menjadikan alasan Saidina Umar Al-Khattab tidak menjatuhkan hukuman Hudud terhadap pencuri di tahun meleset, tanpa melihat sebabnya yang sebenar, berkait individu yang tidak memenuhi syarat-syarat, bukannya membatalkan undang-undang Allah SWT.

Tujuan sebenar kumpulan ini ialah meninggalkan syariat Islam khususnya undang-undang Hudud seperti memotong tangan pencuri, menyebat penzina yang disebut dalam Al-Quran dan rejam yang disebut dalam Sunnah, hukuman Qazaf dan Hirabah, dengan menggunakan hujah syariat dengan cara yang salah memahami maqasid syariah dan masoleh (perkara asal).

3 - Mazhab وسطية (Wasatiyyah)

Pendekatan pertengahan yang betul di antara dua kumpulan yang salah, melampau dan longgar. Pendekatan wasotiyyah tetap menegakkan hukum Allah, namun pelaksanaannya secara ilmu syariat yang betul dan istiqamah. Beramal dengan siyasah syariyyah, ilmu maqasid syariah dan berpegang teguh dengan nas, dengan tujuan melaksanakan syariat Allah dengan istiqamah (konsisten).

Tegasnya hukum syariat wajib ditegakkan dalam negara yang Islamnya berdaulat, undang-undang Islam wajib dikuatkuasakan. Ada pun pelaksanaannya mengandungi huraian yang betul dengan syarat, rukun dan adabnya, mengikut Fiqh Awlawiyyat (keutamaan), Waqie' (realiti) dan Muwazanat (pertimbangan). Dalam melaksanakan undang-undang jenayahnya berada sempadan Qisas, Hudud dan Takzir, bukannya berpindah kepada undang-undang yang bukan Islam.

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG,
Presiden PAS

*Tulisan ini merujuk kepada muka surat 212-213, ringkasan daripada kitab yang dikarang oleh 
Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi  السياسة الشرعية في ضوء  نصوص الشرعية ومقاصده

Tiada ulasan: