Sabtu, 12 September 2015

FAM punca penonton 'kecoh'

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
 
 
PENAUNG Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah punca utama menyebabkan penyokong bola sepak Malaysia mengambil tindakan drastik seperti yang berlaku di Stadium Shah Alam, Selasa lalu.

Walaupun tidak bersetuju tindakan penyokong membakar suar, membaling bom asap dan mercun semasa perlawanan bertemu Arab Saudi dalam Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, beliau faham sebab mereka mengambil jalan itu untuk meraih perhatian, berikutan kegagalan pentadbiran FAM selama 31 tahun.

Dalam entri terbaru Johor Southern Tigers di laman sosial Facebook, untuk mengangkat  semula bola sepak Malaysia, beliau menggariskan enam panduan seandainya beliau memegang tampuk pimpinan FAM.

Ikuti temu bual dibuat yang dipetik di laman Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

Berkenaan isu berkaitan FAM dan penyokong Malaysia di Stadium Shah Alam baru-baru ini, kami mempunyai beberapa soalan untuk diajukan kepada Tunku. Yang pertamanya, ramai yang mengatakan bahawa penyokong  mencemarkan imej bola sepak negara ini. Apakah pandangan Tunku berkenaan hal tersebut?

TMJ: Pertama sekali, saya ingin menegaskan FAM mencemarkan imej negara selama 31 tahun, sejak di bawah pentadbiran presiden yang sebelumnya lagi.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan tindakan penyokong tetapi saya faham ketidakpuasan hati mereka kerana badan induk pentadbir bola sepak negara tidak serius dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak Malaysia.

Masalah utama FAM adalah ianya ditadbir mereka yang tidak berpengetahuan berkenaan bola sepak, dan hanya memegang jawatan untuk kepentingan peribadi.

Berkenaan laporan media terhadap penyokong, saya ada sedikit ingatan kepada sesetengah wartawan. Saya tahu FAM menggunakan khidmat beberapa wartawan untuk membuat liputan berkenaan pasukan kebangsaan di luar negara.

Saya juga tahu apabila mereka mengiring pasukan, mereka diberikan tambang penerbangan percuma, selain wang saku untuk perbelanjaan masing-masing. Jadi kepada wartawan yang dimaksudkan, cukup-cukuplah mengampu FAM dan melabelkan penyokong sebagai perosak bola sepak tanah air. FAM adalah punca bola sepak tanah air rosak.

Sekiranya Tunku menjadi presiden FAM, apakah tindakan awal yang akan diambil Tunku?

TMJ: Tugas pertama saya adalah untuk membersihkan segala kecelaruan dalam FAM. Setelah 31 tahun ditadbir sebagaimana sekarang, proses pembersihan ini sahaja mungkin boleh mengambil masa sehingga setahun.

Keduanya, saya perlu menarik minat orang yang benar berpengetahuan dan bersemangat positif untuk berkhidmat dengan baik bukan sekadar dalam organisasi FAM, tetapi juga kepada ahli gabungan yang lain. Mereka secara majoritinya hendaklah mempunyai latar belakang dalam bola sepak.

Kita juga perlu memantapkan pasukan kebangsaan. Kita tidak boleh menunggu NFDP, tetapi pada masa yang sama mengabaikan pasukan kebangsaan sekarang, sementara menunggu NFDP membuahkan hasil pada masa depan. Kita mesti menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang.

Ingatlah, 50 peratus daripada sesuatu adalah lebih baik daripada 100 peratus tanpa hasil. Jadi, dapatkan khidmat jurulatih luar untuk pasukan kebangsaan sekarang, sementara kita menunggu pembangunan akar umbi membuahkan hasil pada masa depan.

Yang ketiganya, untuk memantapkan pasukan kebangsaan, kita perlu berusaha memartabatkan pertandingan dalam bola sepak Malaysia di semua peringkat. Apabila kita menambahbaikkan pertandingan yang diadakan, liga kita akan menjadi lebih kompetitif, dan ini secara tidak langsung meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.

Sejauh mana pentingnya pembangunan akar umbi dan pembangunan infrastruktur berkaitan bola sepak pada pandangan Tunku?

TMJ: Pendidikan dan pembentukan dalam bola sepak adalah amat penting. Oleh itu, saya menyeru kepada semua pasukan yang bertanding untuk melabur dengan lebih giat lagi ke arah pembangunan akar umbi dan infrastruktur bola sepak mereka.

Saya boleh membantu dengan memberikan 80 peratus hasil hak penyiaran kepada pasukan-pasukan yang terlibat. Apa yang mereka peroleh dari penajaan adalah bonus kepada mereka. Pada masa kini, FAM mengaut 100 peratus hasil penyiaran. Di Jerman dan tempat lain di dunia, pasukan yang bertanding menerima 80 peratus hasil hak penyiaran dan badan pentadbir hanya menerima 10 peratus hingga 20 peratus sahaja.

Saya berharap, dalam keadaan sekarang, pihak yang membuat keputusan dalam FAM dan Kevin Ramalingam dapat membantu pasukan yang bertanding dengan menyalurkan 80 peratus hasil penyiaran, dan tidak mengaut keuntungan besar untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Saya juga akan menyeru agar pasukan yang bertanding untuk berbelanja secara berhemah dan keutamaan hendaklah diberikan kepada pemain tempatan kita. Hari ini kita dapat melihat beberapa pasukan berdepan masalah membayar gaji pemain mereka kerana mereka mengutamakan kebajikan pemain import.

Diharapkan setelah mengambil langkah-langkah tersebut, pertandingan bola sepak kita semakin kompetitif dan diurus secara lebih profesional, serta secara tidak langsung memantapkan pasukan kebangsaan. Kelima, para pengadil seharusnya di bawah naungan badan bebas dan bukannya di bawah FAM, untuk mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

Keenam, saya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti SPRM dan PDRM untuk mencegah korupsi di kalangan pegawai, pemain dan juga pengadil di seluruh negara. Ianya kerja yang sukar, tetapi kita mesti laksanakan jua.

Ramai yang mengatakan, baik dari para penyokong, ahli-ahli gabungan, dan juga ahli jawatankuasa FAM, yang Tunku merupakan calon pilihan untuk menggantikan Tengku Abdullah sebagai Presiden FAM pada tahun 2018. Boleh Tunku jelaskan berkenaan hal ini?

TMJ: Saya pernah membuat kenyataan sebelum ini bahawa saya tidak berminat menjadi Presiden FAM. Sekiranya saya berada di sana, saya harap mereka boleh meminda perlembagaan FAM. Anda perlu faham bahawa mereka yang berada dalam FAM adalah mereka yang diundi oleh ahli-ahli lain.

Kebanyakan daripada mereka berada di sana demi sebab-sebab tertentu, dan bukannya untuk memartabatkan bola sepak. Macam mana saya hendak bekerja dalam keadaan begitu? Di Johor, contohnya, saya mempunyai kawalan sepenuhnya dari peringkat tertinggi sehingga bawahan. Di FAM, saya mungkin duduk semeja dengan mereka yang tidak boleh bekerjasama, dan saya tidak boleh menggugurkan mereka kerana mereka dipilih melalui undian.

Seluruh negara tahu saya selalu berterus terang. Saya lebih suka berterus terang daripada cuba untuk berdiplomasi. Saya lebih cenderung sekiranya orang yang menguruskan FAM itu adalah adil, neutral dan tidak pilih kasih kepada mana-mana pasukan tertentu, dan yang penting sekali, dia hendaklah bersih dan tidak korup.

Kepada rakyat Johor dan Malaysia sekalian. Bukan seperti sesetengah orang, saya tidak sesuai menjadi Presiden FAM. Ianya adalah kerana satu sebab, dan satu sebab sahaja. Saya cintakan Johor, dan saya tentu sekali akan berat sebelah sekiranya terdapat sebarang isu berkaitan Johor. Oleh kerana konflik kepentingan sedemikian, saya bukanlah calon yang sesuai untuk menyandang jawatan tersebut.

Kepada penyokong Johor Darul Ta’zim sekalian, saya mohon maaf, tetapi nampaknya anda kenalah menghadap wajah saya ini beberapa lama lagi. Saya minta maaf. Semoga ALLAH merahmati anda sekalian.


Tiada ulasan: