KUALA LUMPUR, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran mendapatkan bantuan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berhubung cara mengawal penyokong, kata bekas Pengerusi bersama gabungan itu, Datuk Ambiga Sreenevasan.


Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap insiden membaling suar dan bom asap, ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi, di Stadium Shah Alam, semalam.

“Mungkin FAM perlu tanya @mariachin dan @bersih2 untuk bantu kawal penyokong dalam perlawanan akan datang,” kata Ambiga di laman Twitter miliknya.

ambiga
Catatan yang dimuat naik Ambiga ke laman Twitternya, pada Rabu malam.

Saranan yang dimuat naik ke laman Twitternya pada jam 10.18 malam ini, jelas sekali ditujukan kepada insiden di Stadium Shah Alam, pada Selasa malam.

Perlawanan itu terpaksa dihentikan serta-merta, selepas penyokong Malaysia bertindak membaling suar dan bom asap ke padang, pada minit ke-88, ketika Arab Saudi mendahului permainan dengan 2-1.

Setakat hari ini, seramai 11 suspek, termasuk lima pelajar universiti awam dan swasta, ditahan kerana disyaki terbabit dalam mencetuskan kekecohan tersebut.

Mengesahkan perkara berkenaan ialah Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat yang berkata, kesemua lelaki berusia 19 hingga 36 tahun itu, direman sehingga Jumaat ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.