MAKKAH: Dua jemaah Malaysia yang hilang selepas tragedi kren tumbang di
Masjidil Haram pada 11 September lepas, disahkan turut terkorban, kata
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi
Dusuki.
Proses pengecaman jenazah dua jemaah berkenaan - Shahidan Saad, 52,
dari Kodiang, Kedah dan Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah,
dilakukan waris dan anggota keluarga mangsa di rumah mayat Muaissem di
Mina.
"Pada 10 malam tadi, waktu Arab Saudi (3 pagi tadi waktu Malaysia),
pihak berkuasa Arab Saudi telah memaklumkan kepada Tabung Haji berkenaan
penemuan dua lagi mayat tragedi kren berkenaan.
"Pihak perubatan TH telah bergegas ke rumah mayat Muaissem untuk
membuat pengecaman dan pengesahan awal, sebelum membawa waris jemaah
berkenaan untuk pengesahan," katanya kepada pemberita di sini.
Makluman lengkap berkenaan tempat dan waktu penemuan mayat belum dimaklumkan pihak berkuasa Arab Saudi, katanya.
"Jenazah telah disahkan oleh waris dan disokong oleh identifikasi yang
masih ada pada jenazah khususnya gelang, lencana dan barangan peribadi
mangsa," katanya.
Waris Shahidan iaitu abangnya Sobri dan adiknya Zulhakim serta Mohamad
Fazil iaitu anak lelaki Abdul Habib tiba di sini pada Jumaat bagi
melakukan ujian padanan DNA dengan jenazah yang terdapat di rumah mayat
Muaissem.
Dr Asyraf Wajdi berkata ketika ini pihak TH sedang menumpukan kepada
usaha mempercepatkan proses pengurusan pengebumian jenazah bersama pihak
Muassasah Asia Tenggara.
Sebelum ini, lima jemaah Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi
itu ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak, Siti Nurolshlizan
Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai;
Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku dan Zainun Taha, 69, berasal dari
Ampang, Selangor.
Dalam kejadian 5 petang pada 11 September lepas itu, lebih 100 jemaah
haji terkorban manakala beratus lagi cedera selepas kren berkenaan
tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram, selepas umat Islam selesai
mengerjakan solat Asar.
Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil
Haram yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pembesaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan