Rabu, 2 September 2015

Dua Ahli Parlimen Belia Malaysia sertai KEADILAN

Oleh: Nadia Hanafi


PETALING JAYA- KEADILAN mengumumkan dua Ahli Parlimen Belia Malaysia telah menyertai barisan kepimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) selepas perhimpunan Bersih 4 yang diadakan hujung minggu lalu.

Dua anak muda tersebut ialah Ahli Parlimen Belia Selangor, Wan Abdullah Mujahid Hasanuddin dan Ahli Parlimen Belia Pahang, Mohd Mustaqim.

PC RafiziMenurut Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, penyertaan dua anak muda ini bagi menzahirkan perjuangan menuntut reformasi seperti yang digariskan oleh KEADILAN dan dituntut dalam himpunan Bersih 4 baru-baru ini.

“Penyertaan dan sokongan anak muda menggambarkan mereka memahami keperluan reformasi seperti yang dituntut BERSIH dan diperjuangkan KEADILAN selama ini.

“Kedua-dua mereka adalah barisan aktivis dan kepimpinan muda yang sebelum ini bergiat aktif dalam pertubuhan NGO IKRAM dan telah dipilih menjadi Ahli Parlimen Belia Malaysia,” katanya yang juga Setiausaha Agung KEADILAN.

Menurut Rafizi, Mujahid akan diberikan tempat dalam EXCO AMK Malaysia dengan portfolio khusus menyemarakkan aktiviti pendemokrasian di kalangan generasi dengan dibantu Mustaqim.

“Saya yakin lebih ramai Ahli-Ahli Parlimen Belia Malaysia yang menyertai kepimpinan AMK KEADILAN dan menyertai KEADILAN dalam masa terdekat.

“Pendirian kritis beberapa ahli Parlimen Belia Malaysia yang mengkritik skandal melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini adalah isyarat jelas bahawa gelombang anak muda menolak Umno Barisan Nasional semakin deras,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.

Mujahid yang berumur 27 tahun mempunyai ijazah undang-undang dan syariah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, diploma lanjutan bahasa arab dari Maahad Kiftaro dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat MBA.

Beliau juga kerap menyertai persidangan pemuda gerakan Islam peringkat antarabangsa dari tahun 2006 dan mengikuti beberapa misi ke Gaza dan Lubnan.

Manakala Mustaqim pula seorang pendakwah berkelulusan Diploma Pengajian Islam serta aktif dalam seminar motivasi dan latihan belia di seluruh Pahang selain menyertai sukarelawan Aqsa Sharif Malaysia.

Tiada ulasan: