Selasa, 15 September 2015

DAP perlu telan realiti kehadiran PAS dalam pakatan pembangkang, kata Iskandar

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata pendirian PKR yang mahu PAS berada dalam gabungan baru parti pembangkang adalah satu realiti yang harus ditelan oleh DAP.

Katanya, tindakan Azmin Ali selaku Timbalan Presiden PKR menyuarakan pendirian partinya itu memperlihatkan beliau sebagai orang yang celik politik serta memahami realiti kehendak politik kini.

"Saya melihat bahawa menteri besar (Azmin Ali) memang berpijak di bumi yang nyata. Kita lihat apa yang terjadi kepada Bersih 4.0 yang telah diuar-uarkan tetapi apabila berjalan tidak lebih daripada 10 peratus adalah orang Melayu. 

"Ini berlaku kerana PAS tidak mengiktiraf Bersih 4.0. Memang kita tidak halang orang untuk sertai tapi kita kata bahawa tidak ada kerahan tenaga untuk Bersih 4.0. Ini bermakna bahawa pengaruh PAS di kalangan orang Melayu (tinggi)," katanya ketika menjadi ahli panel dalam Program Bicara Harakah di ibu negara. 

Katanya, PAS tidak boleh dipinggirkan dalam gabungan baru parti pembangkang itu kerana pengaruhnya lebih besar daripada komponen pembangkang lain.

"Berdasarkan Bersih 4.0, setiap pakatan politik mesti ada PAS kalau tidak ia tidak akan mendapat sokongan daripada orang Melayu. Saya melihat bahawa orang yang duduk dalam politik terutama untuk membentuk kerajaan.

"Kita perlu fahami realiti politik sekarang bahawa pengaruh PAS di kalangan orang Melayu adalah besar dan tidak wajar untuk diketepikan. Kalau hendak ketepikan boleh tetapi kita tidak akan mencapai matlamat untuk memenangi lebih banyak kerusi atau pergi ke Putrajaya," ujar Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Azmin sebelum ini menyatakan bahawa penerimaan terhadap PAS untuk menyertai Pakatan Rakyat 2.0 adalah keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti berkenaan yang turut disuarakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah Azmin turut berkata PKR tegas menolak cadangan DAP yang mahu menyisihkan PAS daripada pakatan pembangkang baru yang dijangka dibentuk tidak lama lagi.

Mengulas kenyataan Ketua Dewan Pemuda, Nik Abduh Nik Aziz yang berkata ada peluang cerah untuk menyertai Pakatan Rakyat 2.0, Iskandar berkata sememangnya ia tidak dinafikan oleh PAS Selangor yang kini masih menjalinkan hubungan dengan DAP-PKR dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Semalam Nik Abdul berkata peluang PAS untuk menyertai Pakatan Rakyat 2.0 masih cerah sekiranya ada pertemuan dan perbincangan bersama DAP.

Menurut Nik Abduh, DAP tidak mustahil mengubah keputusan tidak mahu penyertaan PAS dalam pakatan pembangkang itu jika terdapat pertemuan yang membolehkan kedua-duanya bersemuka bagi menangani kemelut yang dihadapi.

"Tidak ada benda yang mustahil (untuk PAS bertemu DAP) di dalam politik jadi bermakna mungkin pandangan dia (Nik Abduh Nik Aziz) boleh menyelesaikan kita tengoklah sama ada ianya boleh menjadi realiti atau tidak. Tetapi kita (PAS Selangor) sebenarnya memang ada hubungan dengan DAP, sentiasa bertemu dari konteks pengurusan kerajaan.

"Jadi mungkin kita hendak teruskan ke satu proses yang lebih tinggi. Sekarang ini hubungan politik bagaimana sebab apabila berlaku 'Kuala Selangor Move' pada muktamar memang kita di Selangor ini tertanya-tanya adakah kerajaan ini akan tumbang tetapi kita telah buat keputusan kita bersama-sama di negeri Selangor," katanya.

Malah, PAS Selangor masih menunggu kata putus daripada PAS Pusat mengenai hasil pertemuan pimpinan PAS dan PKR yang diadakan semalam.

"Pihak kepimpinan belum keluarkan apa-apa kenyataan berhubung dengan pertemuan tersebut. Saya rasa kita kena ambil satu langkah demi satu langkah mengenai perbincangan tentang hubungan antara Tahaluf Siyasi dengan PKR, mungkin selepas itu kita akan bincang tentang Pakatan Rakyat 2.0. Tidak semestinya segalanya dibincangkan secara serentak sebab dalam perbincangan itu ada banyak perbincangan antara satu sama lain. 

Pertemuan antara pimpinan PAS dan PKR di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semalam hanya membincangkan mengenai hubungan kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan tanpa menyentuh penglibatan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0.

Tiada ulasan: