Rabu, 9 September 2015

Bai'ah: Hentikan polemik, serah kepada pihak berkuasa - Haron Din [TONTON VIDEO]

Oleh Syed Muaz Syed Putra

 
Post Pic
 
 
BANGI: Ulama PAS menggesa semua pihak khususnya ahli mereka yang menyertai Parti Pekerja Malaysia (PPM) supaya berhenti daripada mempolemikkan isu bai'ah talak tiga ke atas isteri masing-masing sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa agama dalam menentukan hukum.
 
Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata mereka yang terlibat dengan bai'ah dan telah meninggalkan parti itu perlu merujuk kepada Mahkamah Syariah dalam memutuskan hukum bai'ah tersebut kerana ia melibatkan hukum syarak.
 
"Sama jua yang kedua yang disebut selalu mengatakan bahawa bai'ah dengan mentalakkan isterinya dan ini ada dua perkara, satu aku janji dan yang kedua taklik sebagai taklik.
 
"Aku janji dia kena tunaikan, taklik sebagai taklik yang mana taklik nikah sabit dan syarie, sabit maknanya wujud pernikahan yang ditaklikkan dengan talak," katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
Jelas beliau, perkara berkaitan kemusykilan status perkahwinan perlu dirujuk Mahkamah Syariah yang merupakan institusi paling tepat untuk bekas wakil-wakil rakyat PAS merujuk sebarang keraguan.
 
"Kalau taklik dia tidak pukul isteri tapi dia pukul yang melampaui hukum adat dan syarak sabit pada kadi maka jatuhlah talak.
 
"Jadi kalau taklik ini boleh ditarik balik dengan bayar kifarah senanglah, semua yang telah bertaklik di Malaysia kononnya ada kifarah taklik dia bayar kifarah yang sedang dicakapkan pada hari ini maka terbatallah semua taklik yang diamalkan di Malaysia," katanya.
 
Haron berkata demikian ketika diminta mengulas isu sumpah bai'ah oleh wakil rakyat PAS termasuk sumpah bai'ah talak tiga wakil rakyat parti itu di Kelantan yang hangat diperkatakan selepas dikaitkan dengan talak tiga terhadap isteri masing-masing sekiranya meninggalkan parti.
 
Gerakan Harapan Baru (GHB) yang merupakan serpihan PAS telah mengambil alih PKM untuk bergerak sebagai sebuah parti politik.
 
Pengambilalihan tersebut menyebabkan 10 wakil rakyat PAS iaitu lima Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berada dalam senarai kepemimpinan PKM terbatal keahlian dalam PAS secara automatik.
 
Semua wakil rakyat PAS di Kelantan dikatakan pernah melafazkan bai'ah akan jatuh talak tiga terhadap isteri jika mengkhianati PAS tanpa melepaskan jawatan wakil rakyat yang disandang.
 
Isu ba'iah PAS ini mula menjadi topik hangat apabila wujud dalam kalangan wakil rakyat PAS yang menyatakan hasrat untuk menyertai GHB yang kini dikenal dengan nama PPM.
 
Tiada kifarah untuk sumpah bai'ah
 
Menurut Haron, tindakan mempermudahkan perkara itu dengan mendakwa ia boleh diselesaikan dengan membayar kifarah disifatkannya sebagai tidak berasas serta tidak logik.
 
"Tak boleh, kifarah itu kalau dia bersumpah..itu melanggar sumpah, taklik bukan sumpah tapi taklik dipanggil talak yang tergantung-gantung.
 
"Maka kerana itulah  bila sabit taklik ini maka akan jatuhkan seperti yang disebut, jika sebut jatuh talak satu maka jatuhlah begitu juga seterus," katanya.
 
Ujar tokoh perubatan Islam ini lagi, walaupun tiada sebarang pembayaran kifarat bagi mereka yang melanggari sumpah tersebut namun bekas ahli PAS itu tidak terlepas dari janji dan ikrar yang pernah dilafazkannya.
 
"Namun demikian saya menyokong saranan-saranan bahawa kes yang berkait dengan taklik talak hendaklah dirujuk kepada mahkamah yang khusus bidang kuasanya untuk menentukan taklik talak ini sah atau tidak.
 
"Jatuh atau tidak rujuklah kepada mahkamah,kalau mereka tak mahu rujuk menjadi kewajipan bagi pihak berkuasa yang tahu mereka sudah bertaklik membawa mereka ke mahkamah bagi menentukan status perkahwinan dan sah atau tidak taklik talak bukan nak jatuhkan hukum.
 
"Apa hukum akhirnya kita serah kepada budi bicara mahkamah dan kuasa mahkamah menentukannya," katanya.
 
Haron sekali menasihatkan wakil rakyat PAS yang terlibat dengan bai'ah cerai talak tiga yang dilafazkan sebelum ini agar segera merujuk status perkahwinan di Mahkamah Syariah.
 
"Itulah perkara yang muktamad yang saya rasa tidak cukup dengan kita hannya bagi pandangan , jadi kalau orang itu tak laksanakan atau tidak ikut yang kononnya ada ulama lain kata bahawa boleh dibayar dengan kifarah dan sebagainya.
 
"Saya agak terkejut dan berasa pelik kerana kita keliru antara sumpahdengan taklik, yang boleh bayar kifarah itu sumpah seperti bayar bagi makan 10 orang miskin, puasa tiga hari dan sebagainya," katanya.
 
Menurutnya, sumpah bai'ah bukan perkara baru dan telah lama menjadi amalan parti itu yang mana semua wakil rakyat sama ada di peringkat parlimen atau negeri diminta melafazkan sumpah itu di hadapan pimpinan.
 
"Itu kifarah sumpah bukan kifarah bagi taklik sebab taklik tiada sebarang kifarah dan tidak pernah saya dengar ada mana-mana ulama kata bila talak itu keluar dari mulut boleh tarik balik.
 
"Tidak pernah ada ulama kata bila kita bertaklik talak dengan isteri kita boleh kita batalkan dengan kononnya namanya kifarah...tak pernah berlaku demikian, itu hanya berlaku pada sumpah," katanya.
 
 
 

Tiada ulasan: