Rabu, 9 September 2015

Apa nilai disokong Umno dalam himpunan baju merah, soal PKR kepada Zahid




Pengarah Strategik PKR Sim Tze Tzin pertikai adakah Umno menyokong isu perkauman menerusi penyertaan ahlinya dalam perhimpunan baju merah. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 September, 2015.Pengarah Strategik PKR Sim Tze Tzin pertikai adakah Umno menyokong isu perkauman menerusi penyertaan ahlinya dalam perhimpunan baju merah. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
PKR hari ini mempertikaikan sama ada kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam, berhubung penyertaan ahli Umno dalam perhimpunan baju merah, sebagai tanda sokongannya kepada isu perkauman. 
 
Pengarah Strategik PKR Sim Tze Tzin bertanya, apakah nilai yang Umno sokong dalam perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada 16 September itu apabila beliau selaku naib presiden parti membenarkan ahli menyertainya.
 
"Apakah beliau menyokong apa yang diwar-warkan seperti dalam poster (hebahan mengenai perhimpunan) itu untuk mencetuskan ketegangan kaum?

"Beliau (Zahid) perlu jawab kerana beliau membenarkan ahli Umno menyertai perhimpunan tersebut," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR hari ini. PKR juga menuntut supaya penganjur perhimpunan tersebut tampil menjelaskan tujuan dan motif mengadakan program itu yang dirancang diadakan sekitar Bukit Bintang dan Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
 
Semalam, Zahid berkata, beliau tidak menghalang ahli Umno menyertai perhimpunan itu dan tidak menyangkal yang Umno turut dijemput menyertainya.
 
"Itu hak individu kepada ahli Umno berkenaan," katanya di Putrajaya sambil menambah, beliau akan menyerahkan 100% kepada polis untuk mengambil tindakan berhubung perhimpunan itu.
 
Sim berkata, penganjur perhimpunan itu seharusnya menyatakan dengan jelas tujuan dan motif mereka seperti yang dilakukan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 ketika menganjurkan perhimpunan Bersih 4 hujung bulan lalu.
 
"Sesungguhnya perhimpunan Bersih 4 bertujuan membawa Malaysia ke satu arah yang lebih cerah, bebas daripada rasuah dan sebagainya, bercanggah dengan perhimpunan 16 September ini yang masih tidak jelas motifnya.
 
"Kita ingin bertanya sama ada motifnya berdasarkan nilai sejagat atau ia bersifat rasis? Kita mempertahankan hak berhimpun yang dijamin Perlembagaan, tetapi tujuan perhimpunan itu perlu membawa Malaysia ke arah yang positif," kata ahli Parlimen Bayan Baru itu.


Tiada ulasan: