Isnin, 7 September 2015

'Apa lainnya mesyuarat pertama Muhyiddin? Tiada'

Al-Abror Mohd Yusuf





Ketika banyak pihak menjangkakan suasana panas, mesyuarat pertama Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas digugurkan daripada kabinet, bersama Umno hari ini sebaliknya berlangsung seperti biasa.

"Tiada yang khusus dan tiada yang luar biasa," kata sumber Umno kepada Malaysiakini.

Mesyuarat biro politik Umno yang berlangsung pada pagi ini juga berlangsung ringkas kira-kira sejam sahaja.

"Ahli biro politik Umno mengadakan perbincangan dengan memfokuskan kepada kelangsungan perjuangan parti, keadaan politik semasa dan perkembangan berkaitan mengenainya.

"Mesyuarat hari ini adalah platform biasa untuk biro itu bertemu dan berbincang,” menurut sumber lagi.
Selain Muhyiddin, naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang turut disingkirkan daripada kabinet sebelum ini turut hadir.

Sebelum ini, mesyuarat hari ini dijangka panas memandangkan tersebar khabar angin sejak beberapa hari yang mendakwa beberapa pemimpin Umno akan dipecat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno Rabu ini.

Sumber berkata perkara itu sekadar spekulasi semata-mata.

Mesyuarat biro politik Umno dipengerusikan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang juga perdana menteri.
 


 

Tiada ulasan: