Ahad, 13 September 2015

Apa jadi pada 'Islam Hadhari'?

Haron Din
Haron Din
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan perlu meletakkan agama sebagai keutamaan sekiranya mahu memperbaiki kehidupan rakyat.
 
Pembahas usul agama, Datuk Dr Haron Din berkata, tiada guna kerajaan memperkenalkan model-model Islam yang akhirnya tenggelam apabila kepimpinan negara bertukar.
 
“Kita lihat kembali percubaan kerajaan, dahulu ada sistem kepimpinan melalui teladan dan kemudian ditukar kepada penerapan nilai Islam. Kemudian ada Islam Hadhari, banyak wang dibelanjakan dan akhinya kini hanya tinggal Institut Islam Hadhari di Universiti Kebangsaan Malaysia.
 
“Kini wasatiyah pula, tak tau apa yang dikehendaki dengan wasatiyah. Apa akan jadi akan datang? Adakah akan ada model baru yang hanya sekadar cogan-cogan yang kita dengar,” katanya dalam sesi perbahasan usul di  Kongres Rakyat, di sini, hari ini.
 
Sehubungan itu, beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, terdapat lima usul agama dan pendidikan dalam kongres tersebut yang akan dicadangkan kepada kerajaan.
 
Lima usul itu ialah mendesak yuran percuma untuk pengajian tinggi, memperkenalkan sistem pendidikan sepanjang hayat, meneliti kelemahan dan kebocoran sistem pendidikan negara, memperkenalkan mata pelajaran agama sebagai subjek wajib lulus bagi penganut agama masing-masing dan menggesa sekolah agama rakyat dinaiktaraf.
 
“Lima usul ini menambahkan lagi tuntutan kepada kerajaan, kita boleh agak kerajaan mahu terima atau tidak. Kalau kerajaan tidak mahu berubah, kitalah yang kena jadi pengubah kepada kerajaan.
 
“Ini suara rakyat dari dulu lagi yang mahu kerajaan jadikan Islam sebagai sistem kehidupan. Semua mesti berasaskan agama kerana agama yang akan menentukan hidup kita akhirnya,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: