Jumaat, 4 September 2015

Anina: Wanita UMNO kecewa dengan Shahrizat bukan Tun M

 
Anina menegaskan Shahrizat tidak sama sekali mewakili suara seluruh wanita UMNO kerana tidak membawa suara akar umbi sebaliknya hanya menjadi tali barut Presiden parti.

 
anina-sharizat


PETALING JAYA: Ahli Wanita UMNO Langkawi yang dipecat, Anina Saadudin mengkritik Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Katanya, ahli Wanita UMNO lebih kecewa dengan Shahrizat yang gagal berfungsi berbanding kekecewaan ahli parti terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menyertai perhimpunan Bersih 4.0.

Dia menegaskan, Shahrizat yang tidak sama sekali mewakili suara seluruh wanita UMNO kerana tidak lagi membawa suara akar umbi ke peringkat tertinggi.

“Tugas Shahrizat sebenarnya adalah untuk menjaga kepentingan ahli akar umbi dan UMNO, bukannya melindungi Presiden.

“Sekiranya beliau melindungi Presiden parti yang telah menutup segala ruang keadilan untuk melindungi dirinya, ini bermakna Shahrizat telah mengkhianati perjuangan wanita akar umbi,” katanya dalam satu pesanan Whatsapp kepada FMT.

Justeru, Anina mencabar Shahrizat supaya menjalankan pungutan suara ke atas semua ahli wanita UMNO seluruh Malaysia sama ada benar ahli wanita parti itu menyokong kenyataannya bahawa kesemua wanita kecewa dengan tindakan Dr Mahathir turut serta bersama rakyat berbilang kaum mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak segera berundur.

“Bukalah ruang informasi untuk keseluruhan Wanita UMNO mendengar suara Dr Mahathir berkenaan isu semasa sebelum beliau hendak merasa kecewa. Saya bimbang beratus ribu Wanita UMNO akar umbi sebenarnya kecewa dengan Shahrizat,” tegasnya.

Anina berkata, Shahrizat sepatutnya menjadi ibu yang melindungi wanita dan UMNO, bukannya menjadi tali barut melindungi Presiden yang dihantui kemelut kepimpinan.

Tiada ulasan: